Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menyaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kiri) meneyerah tugas kepada pengganti beliau, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 04 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai seorang pemimpin yang luar biasa.

Menurutnya yang  juga Menteri Dalam Negeri, pandangan itu dibuat bersandarkan pengamalannya bekerja bersama Khalid dalam kementerian sebelum ini.

“Apa yang ingin saya nyatakan bahawa sepanjang secara rasmi bersama beliau di PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), beliau seorang KPN yang amat luar biasa pada pandangan saya.

“Ini kerana kesetiaan yang tidak pernah luntur dalam situasi bagaimanapun yang menekan beliau memegang jawatan,” katanya dalam sidang media selepas pelantikan Mohamad Fuzi selaku KPN yang baharu hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, Khalid berjaya mengendalikan pelbagai isu yang dihadapi PDRM dengan profesional dan ikhlas.

“Setiap masalah diatasi dengan penuh profesional. Ini termasuk apabila saya mengarahkan agar Ops Cantas Khas dibuat apabila saya mula-mula memegang jawatan Menteri KDN.

“Ianya telah dijalankan tanpa ada persoalan oleh beliau sendiri. Kita lihat bahawa kejayaan dicapai dalam Ops Cantas Khas,” ujarnya.

Khalid dilantik memegang jawatan Ketua Polis Negara pada Mei 2013.

Beliau mula menyertai pasukan polis sebagai inspektor di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur pada 5 Disember 1976, umurnya ketika itu 19 tahun.

Beliau kemudiannya lulus ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Insiden Lahad Datu, pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Selatan, Kim Jong-nam antara isu keselamatan negara dikendalikan oleh Khalid.

Dalam pada itu, Zahid juga berkata, jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kekal disandang oleh Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan menaikkan beliau ke tahap turus tiga.

Menurut Zahid, ia diputuskan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis yang bertindak melantik Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun sebagai KPN hari ini.

Mohamad Fuzi menggantikan Khalid yang bersara wajib hari ini.

Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dilantik selaku Pengarah Cawangan Khas menggantikan Mohamad Fuzi.

Kesemua lantikan terbabit berkuatkuasa hari ini. -MalaysiaGazette.