KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan berada dalam dilema mencari pemimpin India bagi mewakili kaum itu dan rundingan bersama Hindraf merupakan tindak terdesak bermotifkan politik semata-mata.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, usaha pembangkang itu tidak akan berjaya memperdaya komuniti India dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
“Mereka bertelingkah dalam pakatan harapan untuk mencari pemimpin India selepas menerima kecaman tiada pemimpin India mewakili komuniti minoriti itu.
“Bayangkan kita MIC mempunyai 4,000 pemimpin di peringkat akar umbi dan tertinggi, tidak dapat mendekati masyarakat India, tetapi mereka bertelingkah untuk menentukan pemimpin India yang sehingga kini tidak berjaya bagaimana hendak membela nasib India.
“Ini jelas menunjukkan Pakatan Harapan diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak ikhlas untuk mewakili masyarakat India, dia hanya cari pemimpin India untuk keperluan politik peribadi sahaja untuk memperdaya India percaya kepada politik kotor mereka.
“Pemimpin seperti Waythamoorthy dan Uthayakumar inilah pernah menentang Mahathir sekeras-kerasnya, kini berunding pula untuk menyertai pembangkang, jadi mereka tak ada pendirian ikhlas dan tetap untuk berjuang nasib India,” katanya selepas merasmikan Konvensyen ke71 Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara.
Subramaniam menambah, walaupun MIC masih mewakili suara masyarakat India, beliau mengakui pihaknya masih gagal menjelaskan kepada rakyat segala pencapaian MIC dan BN.
Justeru katanya, MIC sememangnya melakukan banyak pencapaian dalam segala aspek pembangunan melibatkan komuniti India namun pembangkang bijak meracuni pemikiran rakyat dengan hanya mencari dan mengutuk kesilapan parti itu.
“Malangnya, sebagai parti yang ada 4,000 pemimpin peringkat cawangam dan Ketua-ketua bahagian MIC gagal mempertahankan parti dan BN daripada segala dakyah dan penipuan itu.
“Jika golongan berpendidikan dan matang membezakan benar dan tohmahan tak mengapa, tetapi rakyat biasa mudah dicuci minda oleh pembangkang sehingga percaya segala suapan berbentuk hasut.
“Sebab lain ialah majoriti pemimpin akar umbi MIC juga tidak tahu tentang pencapaian MIC kepada komuniti sendiri, sekali gus menyebabkan kita tidak dapat mendekati dan menjelaskan kepada masyarakat India secara berkesan.
“Sebab itulah kita sedang mempersiapkan ketua-ketua petingkat bahagian dan cawangan supaya lengkap dengan segala maklumat pencapaian BN untuk membalas tohmahan pembangkang,” ujarnya.
Justeru katanya, pemimpin MIC juga mempunyai tanggungjawab untuk membwa aspirasi dan segala pelan pembangunan termasuk Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 23 April lalu.
Beliau mahu selain input dengan fakta, para pemimpin MIC juga diminta sentiasa bersatu dan bekerjasama untuk memastikan parti itu menjadi ‘kingmaker’ yang boleh menentukan pengundi India sebagai penjamin kemenangan BN.
Katanya, ketika ini 50 hingga 60 peratus sokongan pengundi India mula beralih ke arah BN dan MIC perlu membuktikan dan memperkukuhkan MIC sebagai parti yang berpengaruh.
“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, MIC tidak ada kerusi bertanding tetapi mempunyai 80,000 pengundi yang boleh menentukan kemenangan calon BN dan MIC mempunyai misi mengenalpasti pengundi itu.
“Jika kita boleh mengembalikan kekuatan itu, maka BN akan menghormati kita dan sekali gus memudahkan Perdana Menteri kita merancang pelbagai projek pembangunan besar untuk India di masa depan tanpa halangan.
“Inilah dikatakan sebagai dividen politik hasil titik peluh dan tanggungjawab ikhlas yang perlu dilaksanakan setiap pemimpin MIC untuk kita kembalikan mandat India kepada BN semula,” katanya. – MalaysiaGazette