NEW YORK – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un didakwa “memohon untuk berperang” dengan ujian bom nuklearnya yang dilancarkan baru-baru ini, kata wakil Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Nikki Haley berkata, negara tidak mahu berperang tetapi kesabarannya ‘bukan tidak terhad’.
“Perang adalah sesuatu yang Amerika Syarikat tidak mahukan. Kami tidak mahu ia sekarang tetapi kesabaran negara kami bukan tidak terbatas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan kecemasan dengan Majlis Keselamatan PBB di New York.
Amerika Syarikat akan membentangkan resolusi PBB terbaharu untuk mengukuhkan lagi sekatan.
China yang merupakan rakan sekutu Korea Utara telah dipanggil supaya melakukan rundingan dan Switzerland menawarkan diri untuk menjadi orang tengah.
Korea Utara melancarkan ujian nuklear pada pagi Ahad lalu dengan kekuatan anatara 50 kiloton hingga 120 kiloton.
Kekuatan peranti 50 kiloton adalah kira-kira tiga kali ganda saiz bom yang memusnahkan Hiroshima pada tahun 1945.
Terdapat laporan yang mendakwa Korea Utara sedang bersiap sedia dengan pelancaran peluru berpandu baharu.
Wakil China ke PBB, Liu Jieyi menegaskan semua pihak perlu beruding.
“Isu semenanjung ini perlu diselesikan dengan aman. China tidak akan sama sekali membenarkan perang berlaku di situ,” katanya. – MalaysiaGazette