KUALA LUMPUR, 5 Sept -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematahkan kegiatan kumpulan pengganas di negara ini termasuk cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA Ke-29 (KL2017) dan Pembarisan Hari Kebangsaan Ke-60 di Dataran Merdeka, di sini dengan menahan 19 lelaki warga tempatan dan asing dalam operasi yang dijalankan bermula 4 Julai hingga 30 Ogos lepas. Kesemua individu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah VIA-kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 Akta 747. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 19 lelaki terdiri lapan warga tempatan dan 11 warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas di negara ini berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM telah berjaya mencekup kesemua suspek itu menerusi enam tangkapan dalam satu operasi khas antara 4 Julai hingga 30 Ogos lalu di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor.

Mereka disyaki cuba melancarkan serangan termasuk semasa Sukan SEA KL2017 dan Sambutan Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Menurut Mohamad Fuzi, tangakapan pertama pada 4 Julai di Shah Alam melibatkan seorang suspek warga Bangladesh berusia 25 tahun yang bekerja sebagai guru sementara di sekolah Maahad Tahfiz, Gombak.

Suspek disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Jamatul Mujahideen Bangladesh – sebuah kumpulan gabungan pengganas Daesh.

Menurutnya, suspek yang dikehendaki polis Bangladesh telah memasuki negara pada 4 September tahun lepas untuk menyambung pengajian di universiti awam.

“Manakala tangkapan kedua dilancarkan pada 7 dan 9 Ogos lalu di Johor Bahru melibatkan tiga suspek iaitu seorang peniaga warga tempatan berusia 40 tahun dan dua warga Maldives.

“Peniaga itu disyaki menyimpan enam naskah majalah Dabiq serta beberapa artikel berkaitan keganasan Daesh di dalam telefon bimbit miliknya.

“Malah dua suspek warga Maldives masing-masing berusia 29 dan 33 tahun bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin disyaki menggunakan Malaysia dan Singapura sebagai transit sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan Daesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Dalam perkembangan berkaitan, tangkapan ketiga dilakukan pada 11 Ogos lalu di Kelantan dan Selangor sebelum polis menahan seorang warga Malaysia dan dua warga Iraq.

Jelas beliau, warga Malaysia berusia 63 tahun yang ditangkap di Bachok dikenalpasti sebagai pesara guru yang aktif mempromosi kumpulan pengganas Daesh melalui dua akaun Facebook miliknya.

Malah katanya, dua beradik warga Iraq masing-masing berusia 41 dan 63 tahun yang bekerja sebagai juruteknik yang ditahan adalah kerana disyaki bertindak sebagai komander kumpulan Daesh di Selatan Iraq.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan tangkapan keempat pada 15 dan 16 Ogos lalu juga di Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan seorang warga Palestin dan Iraq.

“Suspek warga Palestin disyaki merancang menyertai kumpulan Daesh di Selatan Filipina manakala suspek dari Iraq disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Albania yang mempunyai hubungan dengan Daesh.

“Tangkapan kelima diteruskan pada 25 Ogos di Petaling Jaya melibatkan dua warga Indonesia masing-masing berusia 29 dan 47 tahun bekerja sebagai peniaga di Damansara dan ditangkap kerana distaki aktif merekrut anggota baharu kumpulan Daesh dan merancang berlepas ke Syria untuk menyertai Daesh.

“Tangkapan keenam dilakukan pada awal pagi 30 Ogos lalu menerusi satu operasi khas bersama Unit Tindak Khas Bukit Aman di Cheras membawa kepada tangkapan lapan individu iaitu dua warga Filipina dan enam warga Malaysia berusia 20 hingga 52 tahun disyaki terlibat kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG).

“Suspek utama dalam tangkapan ini adalah berusia 25 tahun, merupakan anggota ASG yang menyusup masuk ke Sandakan, Sabah sebelum ke Kuala Lumpur pada tahun 2015,” tegasnya lagi.

Jelas beliau, suspek pernah terlibat dalam tertempuran dengan tentera Filipina dan menculik enam tebusan Filipina dan penyembelihan seorang tebusan beragama Kristian di Selatan Filipina pada tahun 2010.

Justeru, Mohamad Fuzi juga memberitahu, suspek juga pernah mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang menyertai ASG sejak tahun 2014 iaitu Dr. Mahmud Ahmad Mohd. Najib Hussein dan Muhammad Juraimee Ramlee di Kampung Tipo-Tipo, Basilan, Selatan Filipina pada September 2015.

“Maklumat turut mendedahkan bahawa suspek yang ditangkap itu merancang untuk melancarkan serangan semasa upacara penutupan Sukan SEA Ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan perbarisan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka,” ujarnya.

Kesemua 19 individu itu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA- Kesalahan Berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut Prosedur di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 (Akta 747).- MalaysiaGazette