KUALA LUMPUR – Selangor menerajui sumbangan kepada ekonomi negara pada tahun lalu dengan penguasaan sebanyak 22.7 peratus.

Ia diikuti oleh Kuala Lumpur (15.3 peratus), Sarawak (9.8 peratus), Johor (9.4 peratus), Pulau Pinang (6.7 peratus) dan Sabah (6.7 peratus).

Keenam-enam negeri itu menyumbang sebanyak 70.6 peratus kepada ekonomi Malaysia pada tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, lapan negeri melebihi paras pertumbuhan nasional (4.2 peratus) pada tahun 2016.

Labuan mencatatkan pertumbuhan 7.2 peratus diikuti oleh Kuala Lumpur (5.9 peratus), Johor (5.7 peratus), Pulau Pinang (5.6 peratus), Selangor (4.8 peratus), Kelantan (4.8 peratus), Sabah (4.7 peratus) dan Melaka (4.5 peratus).

Dominasi sektor perkhidmatan Kuala Lumpur menyumbang sebanyak 87.7 peratus, Labuan (76.2 peratus), Kelantan (66.4 peratus), Perlis (64.3 peratus), Perak (60.9 peratus), Selangor (60.1 peratus) dan Kedah (54.5 peratus).

Sumbangan sektor perkhidmatan dan pembuatan yang setara di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor.

Sebaliknya, sektor pertanian mempunyai sumbangan yang penting di Kelantan (24.6 peratus), Pahang (23.4 peratus), Perlis (21.6 peratus) dan Sabah (19.1 peratus).

Sektor perkhidmatan disumbangkan sebahagian besarnya oleh Selangor dan Kuala Lumpur dengan masing-masing menyumbang 25.2 peratus dan 24.8 peratus.

Bagi kebanyakan negeri, aktiviti borong dan runcit merupakan pemacu utama sektor perkhidmatan, kecuali bagi Terengganu, Perak, Perlis dan Labuan yang diterajui oleh utiliti dan aktiviti kewangan.

Sektor pembuatan disumbangkan terutamanya oleh negeri Selangor dengan sumbangan 28.9 peratus diikuti oleh Pulau Pinang dan Johor dengan masing-masing menyumbang 12.9 peratus dan 12.6 peratus.

Sektor pembuatan di Malaysia dipacu oleh produk elektrik dan elektronik di Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Produk petroleum bertapis serta bahan kimia dan produk kimia mencatatkan pertumbuhan yang baik di Sarawak, Terengganu dan Pahang.

Walau bagaimanapun, kenderaan bermotor dan peralatan pengangkutan di Malaysia merosot sebanyak 3.6 peratus berikutan daripada penurunan pengeluaran kenderaan bermotor di Selangor, Perak dan Kedah.

Sektor Pertanian di Malaysia didominasi oleh Sarawak, Sabah, Johor, Pahang dan Perak.

Kemerosotan sektor pertanian sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kesan fenomena El Nino ke atas subsektor kelapa sawit di negeri-negeri tersebut.

Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita di peringkat nasional meningkat daripada RM37,123 kepada RM38,887 bagi enam negeri melebihi paras nasional yang diterajui oleh Kuala Lumpur (RM101,420) diikuti oleh Labuan (RM61,833), Pulau Pinang (RM47,322), Selangor (RM44,616), Sarawak (RM44,333) dan Melaka (RM41,363). – MalaysiaGazette