Dr.Zakir Naik Abdul Karim.

KUALA LUMPUR – Kehadiran sekumpulan ahli Wira Perkasa, sayap Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di pekarangan mahkamah di Jalan Duta di sini pagi tadi adalah untuk memberi sokongan kepada presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Menurut Pemangku Ketuanya, Burhanuddin Ruslan, kehadiran anggota Wira Perkasa dan pemimpin tertinggi pertubuhan itu adalah untuk menentang kebiadaban dan sikap kurang ajar pemimpin Hindraf, Waytha Moorthy bersama 18 individu yang memfailkan saman ke atas pendakwah bebas antarabangsa, Dr. Zakir Naik.

Baginya, tidak ada kewajaran kumpulan berkenaan memfailkan saman tersebut kerana umat Islam negara ini tidak nampak pendakwah kelahiran India itu memberi ancaman kepada semangat perpaduan dalam masyarakat Malaysia.

“Dr. Zakir adalah pakar perbandingan agama, beliau hanya menyampaikan ceramahnya kepada orang Islam, tetapi sekiranya ada masyarakat bukan Islam hadir mendengar dan tertarik, tiada siapa boleh menghalang.

“Begitu juga pada hari perayaan Thaipusam, jutaan manusia berhimpun di Batu Caves dan mendengar ceramah daripada sami terkemuka dunia, malah ada orang Melayu hadir, kita tak halang apatah lagi membuat kekacauan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas menghadiri perhimpunan memberi sokongan kepada presiden Perkasa dan pendakwah bebas itu yang diheret ke mahkamah oleh sekumpulan individu yang tidak berpuas hati dengan kelebihan Zakir.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kes itu hari ini, apabila pihak kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman mereka semalam.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata, penyampaian ceramah Dr. Zakir dibuat secara ilmiah dan setiap isu dikupas dengan teliti dan penuh yakin.

Dari segi Perlembagaan Malaysia pula, katanya, tindakan 19 individu berkenaan telah menjejaskan hak kepentingan umat Islam untuk mendengar dan mendapatkan ilmu secara langsung melalui ceramah serta khutbah yang disampaikan Dr. Zakir.

Serentak itu juga, Wira Perkasa meminta kumpulan terbabit memahami Perlembagaan Persekutuan Perkara 11(4) iaitu Perlembagaan memperuntukkan undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganut agama Islam dan mereka harus menghormati Islam sebagai agama persekutuan.

Kata beliau, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama rasmi negara.

“Tindakan dilakukan kumpulan 19 individu itu sama seperti tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, malah Dr. Zakir telah diiktiraf sebagai tokoh Maal Hijrah 1436H oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Hakikatnya, Dr. Zakir lebih diperlukan oleh rakyat Malaysia memandangkan beliau tidak pernah membuat kekacauan dan tidak pernah pula memburukkan nama negara di peringkat antarabangsa jika dibandingkan dengan Waytha Moorthy bersama 18 yang lain itu.

“Saya harap mereka jangan cuba mencurah minyak ke dalam api. Kita boleh adakan dialog sama ada secara terbuka atau tertutup dan tanyalah sendiri kepada Dr. Zakir jika tidak puas hati. Jangalah baling batu sembunyi tangan dan jangan cuba mencari publisiti murahan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast