Annuar Omar

PULAU PINANG – Polis negeri ini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian seorang tahanan lolos di pekarangan kompleks mahkamah Georgetown di sini semalam termasuk bagaimana tahanan itu mendapat kunci buatan sendiri untuk membuka gari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menjumpai kunci yang digunakan suspek untuk membuka gari berantai di dalam longkang di kompleks mahakamah itu dan mendapati tidak sama dengan kunci yang biasa digunakan polis.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan lanjut.

Dalam masa sama, ujar beliau, pihaknya juga melancarkan operasi mengesan tahanan terbabit menerusi Op Tutup dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran.

“Kita tegaskan kunci yang digunakan tahanan itu bukan kunci pendua, tetapi kunci buatan sendiri.

“Kita juga belum ada maklumat bagaimana tahanan ini boleh mendapatkan kunci itu dan perkara ini sedang dalam siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang semalam, tahanan berkenaan, Khairul Nizam Abdullah Sani, 33, yang ditahan kerana kesalahan dadah dilaporkan berjaya meloloskan diri ketika diiringi empat anggota polis dari lokap mahkamah menuju ke Black Maria selepas selesai pertuduhan kesnya.

Siasatan awal mendapati lelaki itu dan seorang lagi tahanan lelaki melarikan diri selepas membuka gari berantai yang mengikat mereka bersama 27 tahanan lain menggunakan kunci dipercayai buatan sendiri.

Bagaimanapun, seorang lagi tahanan berusia 37 tahun berjaya ditahan semula di kawasan pekarangan mahkamah.- MalaysiaGazette