Dua orang pelancong luar asing tidak melepaskan peluang turut serta pada Sambutan Hari Kemerdekaan ke 60 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan cukai pelancongan mulai 1 September berjalan lancar dan baik setakat ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Pasareka di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 OGOS 2017

“Namun, pihak kementerian belum menerima maklum balas sepenuhnya,” katanya ketika ditanya perkembangan pelaksanaan cukai pelancongan yang dijangka dapat mengutip RM210 juta setiap tahun.

Bercakap pada sidang media hari ini bagi mengumumkan pencalonan Anugerah Pelancongan Malaysia (APM) 2016/2017, Nazri berkata, soal pelancong enggan membayar cukai pelancongan juga tidak berbangkit kerana ia merupakan norma di negara lain.

Katanya, pelancong ke negara ini dikenakan cukai pelancongan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk setiap malam, apabila menginap di premis penginapan termasuk hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan kerana ia dimasukkan dalam sistem daftar masuk.

Di Myanmar sebagai contoh, katanya, pelancong asing dikenakan kadar cukai pelancongan berbeza berbanding warga tempatan.

“Kita perlu faham membayar cukai pelancongan adalah satu norma di negara lain. Jadi, tidak menjadi isu di sini,” katanya ketika ditanya terdapat aduan pengusaha hotel bajet terpaksa menanggung cukai pelancongan kerana pelancong enggan membayar.

Nazri dalam pada itu mempelawa penggiat industri pelancongan Malaysia dan antarabangsa menghantar pencalonan bagi 14 kategori yang dipertandingkan dalam APM 2016/2017.

APM yang dianjurkan 2 tahun sekali bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penggiat industri pelancongan di dalam dan luar negara atas kecemerlangan membangunkan produk dan perkhidmatan yang inovatif.

Bagi edisi kali ini, katanya, 2 kategori baharu diperkenalkan, iaitu Pusat Hiburan Terbaik dan Syarikat Penerbangan Terbaik, manakala kategori
Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia diberi nafas baharu sebagai “Dokumentari Pelancongan dan Iklan Televisyen Terbaik Mengenai Malaysia”.

Borang rasmi APM boleh didapati di pejabat Tourism Malaysia dan 22 Pusat Penerangan Pelancongan di seluruh negara. Borang boleh dimuat turun daripada laman web rasmi www.tourism.gov.my dan www.motac.gov.my serta ia boleh diemelkan kepada [email protected] Bernama