Saksi, Pengarah Jabatan Pentadbiran Pertukaran Wang Asing Bank Negara Malaysia, Azman Mat Ali hadir di Mahkamah Rayuan untuk memberi keterangan berkaitan prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 07 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Saksi ke-18 prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memanggil Pengarah Jabatan Pengauditan Wang Negara BNM, Azman Mat Ali.

Dalam hari keenam prosiding, Azman berkata, dalam satu transaksi yang pernah dibuatnya boleh mencecah berbilion-bilion dolar Amerika Syarikat (AS).

“Tidak ada had bagi setiap transaksi. (Saya) tidak ingat transaksi yang saya buat tapi jumlah boleh mencecah bilion dollar (AS) dalam sehari.

“Saya tidak berani urus niaga melainkan arahan dari (Tan Sri) Nor Mohamed Yakcop mahu pun ketua pedagang,” ujarnya.

Katanya, beliau mendapat arahan terus daripada bekas Penolong Gabenor BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop selaku pedagang yang melakukan urus niaga mata wang asing oleh BNM.

“Saya menjalankan tugas menerusi pedagang iaitu Nor Mohamed Yakcop. Semua urusan dilaksanakan di Jabatan Akaun BNM,” katanya lagi.

Tambah Azman, transaksi dilakukan dalam tempoh 24 jam sehari dan dibantu dua pekerja BNM yang bekerja secara syif.

Menurutnya, tugasnya sebagai Pentadbir Pertukaran Asing BNM, beliau hanya melaporkan setiap aktiviti urus niaga kepada ketua pedagang ketika itu, Lim Tan Mee (1988-1989), Selvaraj (1989-1990), dan Chua Tiong Chin (1990-1994), serta Nor Mohamed yang merupakan penasihat kepada BNM ketika itu.

Malah ditanya mengenai sama ada urus niaga berbilion dolar AS itu dilakukan untuk pertukaran atau rizab, Azman menjawab; “Saya tidak tahu sama ada itu pertukaran atau rizab. Ia tidak disahkan dalam urusniaga,” kata Azman.

Jelas beliau, setiap transaksi dilakukan secara manual dan tiada unsur ‘Check and Balance’ yang dilakukan oleh BNM pada tahun 1990 sehingga 1994.

Antara mata wang asing yang diurusniagakan beliau ketika itu adalah dolar AS, Mark Jerman, Yen Jepun, Pound British, Franc Swiss, dan Franc Perancis.

Jumlah mata wang yang didagangkan oleh beliau selaku pentadbir pertukaran asing adalah tidak lebih AS$5 hingga AS$10 juta seorang.

Namun bagaimanapun had urus niaga bagi ketua pedagang pula lebih tinggi daripada itu. -MalaysiaGazette.