Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama Buku POCA Nafas Baharu Banteras Jenayah pada Majlis Perjumpaan Bersama Syarikat Kawalan Keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 SEPTEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengumumkan 10 inisiatif baharu untuk industri perkhidmatan kawalan keselamatan di Malaysia bagi menghadapi cabaran masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penguatkuasaan pekeliling agensi persendirian berhubung permohonan dan pengendalian senjata api oleh syarikat kawalan keselamatan yang berlesen di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 dan Akta Senjata 1960 sebagai inisiatif pertama kerajaan.
Katanya, ia selari dengan peredaran masa dan  ancaman keselamatan  masa kini melibatkan penggunaan senjata api melibatkan syarikat persendirian kawalan keselamatan bertujuan menangani penyalahgunaan senjata api milik persendirian atau syarikat itu menjurus kepada keganasan, aktiviti gangsterisme yang boleh memudaratkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Inisiatif kedua ialah mulai 1 Januari depan, mewajibkan semua syarikat kawalan keselamatan berjumlah 800 syarikat menghantar pengawal keselamatan peribadi menjalani latihan khas dan bertauliah oleh KDN dan PDRM.
“Latihan itu akan dijadikan syarat wajib untuk memprbaharui lesen  carry and use senjata api pengawal keselamatan peribadi sebagai langkah mengelak senjata api itu secara sewenang-wenangnya tidak disewa kepada mana-mana individu atas dasar sebagai pengawal keselamatan peribadi kononnya,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perjumpaan bersama Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Syarikat Kawalan keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur petang tadi.
Justeru jelas Ahmad Zahid, langkah ketiga bagi memastikan pakaian seragam pengawal keselamatan beserta aksesori dan logo PPKKM akan diwartakan dan draf berkenaan sedang disemak Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan sebagai inisiatif keempat.
Menyentuh mengenai inisiatif keempat, beliau berkata, bermula 1 Oktober ini, orang awam boleh menyemak status syarikat kawalan keselamatan yang berlesen dengan KDN dibawah Akta Agensi Persendirian 1971 secara atas talian.
“Kelima, KDN dengan kerjasama Bank Negara, PDRM, Persatuan Bank Dalam Malaysia telah merangka garis panduan Kawalan Keselamatan di Institusi Perbankan di Malaysia yang akan berkuatkuasa bermula 1 Januari depan.
“Keenam pula, bermula Oktober ini KDN menerusi Agensi Anti Dadah Kebangsaan mengadakan  operasi ujian saringan air kencing ke atas pengawal keselamatan di seluruh negara bila-bila masa manakala dengan inisiatif ketujuh, semua kontrak pembekalan perkhidmatan kawalan keselamatan kepada kementerian dan agensi kerajaan pula akan diseragamkan.
“Menyedari pentingnya memperkasa industri kawalan keselamatan dalam negara, kita melaksanakan pengakreditasian modul program latihan pengawal keselamatan bertauliah  untuk kebaikan pengawal yang mengikuti latihan itu,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan KDFN juga melaksanakan inisiatif kelapan iaitu meneruskan audit ke atas semua syarikat kawalan keselamatan melalui Bahagian Audit Dalam KDN dengan kerjasama Jabatan Audit Negara dan mulai tahun depan.
Sebagai langkah terakhir, katanya, Seksyen 3(4) Akta Agensi Persendirian 1971 akan dipinda dengan tempoh sah laku lesen Agensi Persendirian yang pada masa ini tamat pada 31 Disember setiap tahun.
“Saya cadangkan supaya tempoh lesen berkuatkuasa selama dua tahun yang bermakna hanya perlu diperbaharui setiap dua tahun sahaja selepas ini,” tegasnya lagi.
Sebelum itu, Presiden PPKKM, Datuk Seri Mustapa Ali mengemukakan sebanyak 11 permintaan industri kawalan keselamatan untuk pertimbangan kerajaan antaranya tunggakan bayaran daripada agensi Kerajaan dan kementerian.
Sebagai mengambil berat tuntutan itu, Ahmad Zahid meluluskan permintaan PPKKM dan akan dibawa untuk dibincangkan dalam jemaah Menteri Rabu depan.
Beliau juga setuju dengan kontrak kawalan keselamatan sekolah di 2,000 zon diagihkan secara adil kepada 800 syarikat keselamatan.
“Saya juga akan memastikan tiada lagi kelewatan dalam tuntutan bayaran daripada agensi kerajaan dan kementerian dan hasilnya akan dimaklumkan secara bertulis, saya janji insy Allah.
“Saya mahu segala tuntutan bayaran perlu diselesaikan kementerian dan agensi kerajaan yang menggunakan perkhidmatan keselamatan dalam tempoh 90 hari,” katanya.- MalaysiaGazette