SPRM

PUTRAJAYA – Bekas eksekutif sebuah syarikat cari gali minyak merupakan antara tiga lagi individu yang ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkaitan tuntutan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) bagi satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Dua individu lain yang ditahan reman ialah bapa mentua kepada bekas eksekutif itu dan suami kepada pengarah wanita sebuah syarikat kontraktor yang direman pada Rabu lepas.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 14 September.

Bekas eksekutif berusia 40 tahun yang kini seorang ahli perniagaan dan bapa mentuanya, 65, ditahan di rumah mereka di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada 10.30 malam tadi.

Suami kepada pengarah wanita sebuah syarikat kontraktor berumur 53 tahun yang bekerja sendiri pula ditahan pagi ini di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Sehingga kini, enam individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada Rabu, seorang pengurus kanan syarikat cari gali minyak dan seorang pengarah wanita sebuah syarikat kontraktor yang dikatakan dilantik untuk melaksanakan projek itu serta seorang bekas pembantu teknikal syarikat cari gali berkenaan direman enam hari berhubung kes sama.

Berdasarkan laporan media, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor berkenaan antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat itu.

— BERNAMA