KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertindak tegas ke atas aktivis liberal, Siti Kasim.
Naib Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kesesatan daripada putar belit yang disengajakan oleh peguam itu perlu segera dibendung dan ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa.
Kata beliau, bukan baharu Siti Kasim mengutarakan perihal berkaitan Islam secara fakta yang dusta dan rekayasa, malah acap kali pula cuba mengeliru, memperlekeh, menghina dan biadab terhadap agama Islam.
Ujarnya, keterlaluan peguam itu telah mengundang kontroversi yang boleh menggugat ketenteraman serta salah faham awam dan segala kemungkinan negatif lain.
“Malah, kebebasannya menjadikan beliau begitu angkuh dan celupar, selain berani mencabar pelbagai autoriti. Sedangkan, maruah dan kesucian Islam tidak boleh dikompromi kepada sesiapa jua.
“Kami, Pemuda Pas yakin, jika masalah ini tidak diambil tindakan sewajarnya, ia akan membarah dan menimbulkan kacau bilau kepada pegangan kefahaman serta akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau mengulas ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha Siti Kasim minggu lalu yang dilaporkan berkata, al-Quran tidak pernah menyatakan mimpi Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya adalah dari Tuhan.
Menurut peguam itu, Tuhan tidak akan menganjurkan kejahatan dan hanya syaitan yang menganjurkan kejahatan dan kemaksiatan.
“Quran tidak pernah mengatakan bahawa Tuhan menyuruh Ibrahim untuk membunuh (mengorbankan) anak lelakinya. Quran tidak pernah mengatakan bahawa mimpi tersebut adalah dari Tuhan. Quran mengajar kita bahawa Tuhan tidak akan menganjurkan kejahatan,” kata Siti Kasim dalam ucapan itu.
Menurut Ahmad Fadhli, Malaysia wajar mengambil pengajaran dari negaa jiran, Indonesia yang hampir empat dekad dahulu pernah dicemari oleh wacana pemikiran sedemikian.
Namun ujar beliau, untuk mengubatinya menempuh cabaran yang amat memeritkan, bahkan secara tidak langsung usaha memartabatkan Islam dan menjadikannya sebagai naungan rahmat kepada semua pihak selaras ketinggian dalam Perlembagaan Malaysia juga sukar dan akan sering dikontroversikan.
“Pihak berkuasa seperti Jakim perlu menguatkuasakan tindakan selaras diperuntukan akta atau enakmen tanpa perlu takut kepada kalangan yang mencela.
“Kerajaan juga digesa menggubal perundang tambahan terutama berkaitan kewenangan golongan ini menyebarkan pemikiran songsang mereka di pelbagai bentuk media.
“Kita berharap Jakim bertindak memanggil dan jika perlu ditahan individu seperti itu dan adakan kaunseling serta bimbingan komprehensif supaya mereka dapat diperbetulkan hingga insaf bertaubat dan kembali ke pangkal jalan,” ujarnya.
Katanya, Jakim sebelum ini telah bertindak ke atas banyak pihak yang mempelopori ajaran sesat, maka individu seperti Siti Kasim juga pasti boleh diatasi dengan pencegahan khas sebelum ramai lagi dikelirukan oleh dakyah sesat yang dicetuskannya hari ini. – MalaysiaGazette