Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membangkitkan isu penindasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar dalam pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Katanya, penindasan ke atas Rohingya memaksa mereka menjadi pelarian ke negara lain merupakan antara perbincangan yang akan diutarakan semasa lawatannya ke AS pada 12 September ini.

Beliau yang mengulangi pendirian Barisan Nasional (BN) memperjuangkan isu Rohingya menganggapnya sebagai isu kemanusiaan dan bukan keagamaan.

“Pendirian BN jelas dalam hal ini dan akan terus mengemukakan pendirian daripada rakyat selain mengambil kira tindakan ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertingggi Barisan Nasional di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sementara itu, Najib memberitahu, Malaysia telah mendapat lampu hijau daripada kerajaan Bangladesh untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya yang ketika ini mencari perlindungan di Chittagong.

“Rentetan kelulusan itu, esok saya akan lancarkan misi kemanusiaan bantuan kepada pelarian Rohingya yang lari dan berpusat di sekitar Chittagong, Bangladesh,” katanya.

Mengulas lanjut lawatannya ke awatan rasmi beliau ke AS Selasa depan, Perdana Menteri memberitahu, beliau akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Trump di White House sebelum bertemu dengan Naib Presiden negara itu.

“Saya akan keluarkan pendapat dan berharap Amerika menganggap Malaysia sebagai rakan kerjasama yang boleh dipercayai dalam soal perdagangan, pelaburan, keselamatan dan juga usaha memerangi keganasan.

“Di samping itu juga, Malaysia berharap syarikat Amerika juga melihat Malaysia sebagai antara negara terus melabur dalam sektor teknologi tinggi.

“Malaysia memerlukan penyertaan pelaburan agak banyak syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang berasaskan teknologi tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette