Ketua Pegawai Eksekutif Big Blue Taxi Sdn.Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media Blue Taxi di Wisma Central, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pengasas Big Blue Taxi Facilities, Datuk Shamsubahrin Ismail mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dilihat seolah-olah cuba meluluskan semula sistem pajakan teksi dan menafikan perlaksanaan Program Transformasi Industri Teksi (TITP).

Ini berikutan pelancaran Program Quick Ride baru-baru ini membolehkan mana-mana pemandu yang berminat memajak kereta Proton untuk menyediakan perkhidmatan Uber.

Pada tahun lalu Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan pelaksanaan TITP yang akan memansuhkan sistem pajakan teksi bagi mewujudkan persaingan sihat antara teksi dan rangkaian e-hailing.

“Apa yang saya pertikaikan adalah keadilan kepada industri, SPAD macam buat u-turn. Mereka (SPAD) berjanji untuk membantu industri untuk memansuhkan sistem pajakan tapi mereka tidak buat. Mereka terus buat lagi (sistem pajak),” terang Shamsubahrin.

Shamsubahrin juga mendakwa program Quick Ride mengenakan bayaran pajakan yang lebih mahal dari sistem pajakan yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Mereka umumkan kadar sehari dikenakan RM45 hingga RM55 bergantung kepada jenis kereta.

“Sedangkan pemandu teksi bayar RM30 hingga RM35 dengan permit, insurans dan PUSPAKOM,” tambahnya pada sidang media di pejabatnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast