KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) membuat ketetapan untuk memperkukuhkan semangat terutama daripada segi kefahaman dan kerjasama dalam pembahahgian kerusi dan penentuan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak berkata, BN sudah membuat ketetapan pembahagian kerusi dan penentuan calon berdasarkan pilihan rakyat dan bukan mereka yang melobi parti komponen.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu pembahagian kerusi dan pemilihan calon dibuat atas semangat dan permuafakatan BN dan tidak menjadi punca pergeseran antara parti komponen BN.
“Kita akan menyelesaikan (pertikaian MIC dan myPPP) dalam keluarga permuafakatan BN, mereka dah setuju dengan pendirian dan mereka akui keputusan BN.
“Soalan pertama kita (penentuan calon) ialah bukan menerusi lobi tetapi soal apa yang dianggap sebagai pilihan rakyat yang akan dipertimbangkan BN,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Presiden UMNO itu menegaskan, satu kekuatan BN ialah wujudnya pakatan yang kukuh dan stabil, bukan seperti pembangkang yang dilihat sering kali membuat kenyataan dan pendirian yang bercanggah sehingga tidak dapat menentukan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang.
“Mereka (pembangkang) asyik mengubah pendirian mereka dalam banyak isu jika kita lihat keadaan dari semasa ke semasa.
“Tetapi kekuatan BN ini saya yakin memberi gambaran jelas kepada rakyat bahawa kita pakatan yang utuh dan mampan untuk terus memimpin negara kita.
“Dari segi persiapan PRU, kita melakukan persiapan dan kerjasama sesama komponen dengan terbaik dan dalam hal ini masih ada ruang untuk dipertingkatkan dalam beberapa minggu akan datang,” ujar beliau.
Sementara itu, Najib berkata, BN turut membincangkan kedudukan ekonomi negara pada mesyuarat itu.
Katanya, secara dasar Malaysia berada pada landasan betul dan memberi impak dan momentum positif berikutan pertumbuhan suku kedua mencecah 5.8 peratus selain pengukuhan ringgit yang semakin nyata dan jelas.
“Dewan tertinggi BN juga sedar selain ekonomi negara, ekonomi rakyat juga perlu diberi perhatian serius dalam bajet akan datang, termasuk kos sara hidup, isu perumahan untuk terus mensejahterakan rakyat.
“Kita juga melihat salah satu prasyarat untuk mentadbir negara dengan kemampanan secara berterusan dan memberi keyakinan bahawa sesebuah kerajaan itu boleh membawa kestabilan dan pentadbiran kukuh adalah hasil persefahaman dan kepimpinan.
“Kalau (prasyarat) ini jadi ukuran, pembangkang kekurangan dari segi kejelasan posisi dan polisi, arah tuju negara dan pembuatan keputusan dalam pakatan yang berkecelaruan selain isu asas mereka gagal, jadi bagaimana agenda mereka boleh diyakini mentadbir negara.
“Ini kerana negara kita selama ini telah menikmati kestabilan secara berterusan dan kalau ini tak jadi kenyataan lagi, maka malap masa depan kita sebagai sebuah negara semakin hari sepatutnya semakin maju,” katanya. – MalaysiaGazette