KUALA LUMPUR – Parti mana tidak mahu pertandingan dua penjuru, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub.
Katanya, sejak bermula isu perundingan antara PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan Pas atas perhitungan politik bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAN mengambil sikap positif terhadap usaha rakan dalam Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, sejak itu juga PAN sentiasa memerhati dan mendengar dengan baik segala perkembangan perundingan yang berlarutan hampir dua tahun itu.
“Kita menghormati hak rakan dalam PH untuk merealisasikan niat murni bagi memastikan berlakunya pertandingan satu lawan satu.
“Sebagai rakan dalam PH, PAN sekadar memberikan pandangan dan nasihat bila diminta berbuat demikian oleh pimpinan PKR dan PPBM sama ada secara rasmi dalam mesyuarat PH atau perbincangan tidak rasmi.
“Bagaimanapun, masa tidak menunggu kita semua. Kepantasan waktu berlari menuntut kepimpinan utama PH untuk membuat keputusan penting sekali gus mengatur strategi kemenangan bagi menghadapi berlakunya PRU14 pada bila-bila masa dari sekarang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Salahuddin, setelah hampir dua tahun usaha keras dan bersungguh rakan parti PH untuk membawa Pas ke gelangang satu lawan satu, akhirnya rakyat di luar sana boleh menghakimi dengan jelas, adil dan saksama mengenai parti manakah sebenarnya yang sedang menggagalkan segala niat serta usaha murni ini.
Beliau yakin keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) secara kolektif yang telah memutuskan untuk tidak lagi mengadakan sebarang perundingan dengan Pas bukan satu keputusan mudah, terburu-buru atau pra matang.
“Keputusan MPPH ini dibuat dengan cermat, teliti dan sabar dalam memperhitungkan segala kebijakan politik dan meraikan sepenuhnya perbezaan pendangan di kalangan pimpinan utama PH.
“Melalui keputusan MPPH sajalah yang berhak dan berkemampuan untuk merumus segala pendirian parti komponen PH. Membina persepsi rakyat bahawa PH adalah tempat mereka bergantung harapan adalah keutamaan semua pimpinan utama pembangkang,” katanya.
Katanya, PH telah membuka jendela perundingan dan ruang waktu yang mencukupi untuk pertarungan satu lawan satu bagi menumpaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU 14 akan datang dan menyerahkan kepada rakyat untuk berbicara parti manakah yang membuat durjana. – MalaysiaGazette