Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Penutup Merdeka Rides 2017 di Dataran Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 10 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melahirkan hasrat untuk membawa kumpulan bermotosikal ke Wilayah Rakhine bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Islam, Rohingya.

Beliau menggesa supaya semua bikers bangun memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia yang berusaha untuk membantu masyarakat Rohingya yang ditindas oleh kerajaannya.

“Insya Allah kalau negara itu aman, kita nak ke Rakhine dimana orang-orang Rohingya berada.

“Insya Allah saya bersama saudara semua akan ke Myanmar untuk ambil peduli orang Rohingya yang dianiayai,” kata beliau semasa menghadiri Majlis Penutup Merdeka Rides 2017 di Putrajaya hari ini.

Dalam majlis sama, Ahmad Zahid juga melancarkan kutipan derma daripada orang ramai yang terdiri daripada penunggang motosikal berkuasa tinggi yang kemudiaannya akan disalurkan untuk membantu masyarakat Rohingya disana.

“Sebentar lagi kita kumpulkan dalam satu tabung mangsa rakyat Rohingya. Kita nak perlihatkan keprihatinan, kita berterima kasih kepada kerajaan, bersyukur kepada Allah kerana Malaysia dan negara ASEAN lain aman sejahtera,” ujarnya lagi.

Ahmad Zahid juga mengulangi gesaan supaya bekas setiausaha agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dan ikon demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi supaya memainkan peranan mereka dengan menyekat penindasan yang dibuat terhadap masyarakat Rohingya dihentikan dan bukan sekadar menjadi patungan sahaja.

“Perasaan kemanusiaan mesti diterjemahkan, gunakan lah pengalaman sebagai pejuang kemanusiaan untuk diterjemahkan di negara sendiri supaya anugerah itu dapat diiktiraf dan bukan sekadar menjadi patungan sahaja,” ujarnya.

Ujarnya, pembunuhan beramai-ramai membabitkan kaum Rohingya di Myanmar harus dijadikan agenda utama ASEAN dan komuniti antarabangsa dalam usaha mengekang jenayah ini daripada terus berleluasa.

Ketika ini, PBB melaporkan, lebih 30,000 penduduk Rohingya telah kehilangan tempat tinggal mereka manakala berpuluh-puluh lagi terbunuh selepas diserang tentera Myanmar. – MalaysiaGazette