Home Dunia Pembersihan etnik Rohingya di Myanmar – PBB

Pembersihan etnik Rohingya di Myanmar – PBB

Pelarian Rohingya melalui kawasan berselut di sempadan Myanmar-Bangladesh di Teknaf pada tahun lalu selepas berlaku keganasan di Rakhine oleh tentera Myanmar. foto Agensi

BANGLADESH – Operasi keselamatan yang menyasarkan masyarakat Islam Rohingya di Myanmar ‘seolah-olah pembersihan etnik dalam buku teks’, kata Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sehubungan itu, Zeid Raad Al Hussein mendesak Myanmar untuk menamatkan operasi tentera yang kejam di negeri Rakhine.

Lebih daripada 300,000 umat Islam Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh sejak keganasan meletus di sana lewat bulan lalu.

Tentera mengatakan ia bertindak balas terhadap serangan pemberontak Rohingya dan menafikan ia menyasarkan orang awam.

Keganasan itu meletus pada 25 Ogos lalu apabila pemberontak Rohingya menyerang balai polis di utara Rakhine, membunuh 12 orang anggota keselamatan.

Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar sejak itu berkata, tentera bertindak balas dengan melakukan kekejaman termasuk membakar kampung dan menyerang orang awam dalam usaha untuk mengusir mereka.

Rohingya, merupakan penduduk minoriti dalam kelompok Buddha di Rakhine telah lama mengalami penganiayaan di Myanmar.

Masyarakat itu tidak mendapat kerakyatan dan didakwa menjadi pendatang tanpa izin di Myanmar.

Zeid, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia PBB berkata, operasi semasa di Rakhine adalah “jelas tidak seimbang”.

Beliau berkata, keadaan di sana tidak dapat dinilai sepenuhnya kerana Myanmar enggan memberi akses.

Tetapi PBB telah menerima pelbagai laporan dan satelit imej pasukan keselamatan dan pemberontak tempatan yang membakar kampung Rohingya, dan ia konsisten dengan pembunuhan ekstremis, termasuk menembak orang awam yang melarikan diri.

“Saya menyeru kerajaan Myanmar untuk menamatkan operasi tentera yang kejamnya dengan akauntabiliti untuk semua keganasan yang telah berlaku dengan diskriminasi yang teruk dan meluas terhadap penduduk Rohingya,” katanya.

Laporan terkini menyatakan kira-kira 313,000 pelarian Rohingya telah berada di Bangladesh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast