Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dimasyurkan sebagai Sultan Kedah hasil keputusan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja selepas kemangkatan Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit, Kedah . foto KHAIRIL AJHAR, 12 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat semalam.

Pemasyhuran itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah di Balai Penghadapan Baharu, Istana Anak Bukit, pagi ini.

Selepas pemasyhuran itu, baginda kemudian dibawa oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang juga Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah ke singahsana untuk bersemayam.

Pada 15 Disember lalu, baginda Tunku Sallehuddin dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah sebaik sahaja Sultan Abdul Halim tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2016.

Almarhum Sultan Abdul Halim adalah Sultan Kedah ke-28 dari 1958 hingga 11 September 2017 serta Yang di-Pertuan Agong yang kelima dari 21 September 1970 hingga 20 September 1975 dan ke-14 bagi tempoh 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016.

Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 November 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat gering.

Baginda adalah anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah iaitu Sultan Kedah hasil perkongsian hidup dengan Sultanah Asma Sultan Sulaiman, yang juga puteri Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast