Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan dadah jenis kokain bernilai RM56,000 yang disorokkan dalam botol minyak wangi ketika sidang media JSJN berhubung kejayaan rampasan dadah bernilai tinggi di Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. foto SAFWAN MANSOR, 13 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Dadah dianggar bernilai lebih RM5 juta berjaya dirampas pihak polis dalam tiga operasi berasingan di tiga negeri yang dijalankan pada 11 dan 12 September baru-baru ini.

Operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama pasukan Special Tactical Intelligence Narcotics Group (STING) itu berjaya menumpaskan tiga kumpulan di Kedah, Kelantan dan Kuala Lumpur.

“Pihak polis berjaya menumpaskan tiga kumpulan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan dan warga asing,” kata Ketua Pengarah JSJN, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd Shariff dalam satu sidang media di Bukit Aman hari ini.

Reaksi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff ketika sidang media JSJN berhubung kejayaan rampasan dadah bernilai tinggi di Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. foto SAFWAN MANSOR, 13 SEPTEMBER 2017

Dalam dua serbuan pada 11 September di Changlun, Kedah, pihak JSJN dan STING menangkap dua orang lelaki berusia 36 tahun dan 42 tahun serta menemui ketulan mampat daun kering disyaki dadah ganja seberat 87.4 kilogram.

Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM262 ribu.

Kemudiaan, operasi pada 12 September yang dijalankan di Pasir Mas, Kelantan pula, pihak berkuasa berjaya menangkap lima warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah dengan anggaran barang rampasan bernilai RM5 juta.

Harta yang disita pula bernilai RM56,000, antaranya wang tunai, sebuah kenderaan dan pelbagai barang kemas.

Seorang anggota Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) berkawal pada sidang media RJabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berhubung kejayaan rampasan dadah bernilai tinggi di Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. foto SAFWAN MANSOR, 13 SEPTEMBER 2017

Sementara itu, dalam operasi ketiga yang dijalankan di Kuala Lumpur pula pihak polis menangkap dua warga Nigeria dan berjaya menemui kokain dianggar bernilai RM69 ribu.

Kedua-dua lelaki adalah warga Nigeria yang tidak memiliki dokumen.

Menurut Mohd. Mokhtar, ke semua mereka yang ditangkap direman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengenai tangkapan dua warga asing tersebut, Mohd. Mokhtar memberitahu, mereka menerima maklumat daripada agensi antarabangsa, Drug Enforcement Administration (DEA) yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

“Kejayaan ini adalah hasil jalinan kerjasama yang erat dan perkongsian maklumat risikan dengan agensi penguatkuasa dadah antarabangsa khususnya, DEA,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast