Orang ramai mula berkumpul di hadapan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berikutan kejadian kebakaran yang meragut lebih 20 nyawa di Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Seramai 24 daripada 25 mangsa termasuk 22 orang penuntut dan dua orang guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah maut akibat kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Kesemua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami oleh 36 penuntut dan enam orang guru.

Seorang lagi mangsa dikatakan meninggal di hospital.

Penuntut-penuntut yang meninggal dunia berusia antara 13 hingga 17 tahun itu dipercayai sesak nafas akibat sapa tebal daripada kebakaran itu.

Manakala 14 orang penuntut dan empat orang guru berjaya menyelamatkan diri tetapi enam dilaporkan dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang berada di tempat kejadian berkata, bomba masih menyiasat punca kebakaran.

Menurut beliau, bomba menerima panggilan pada pukul 5.41 pagi tadi dan api berjaya dipadamkan kira-kira pukul 6.45 pagi.

Amar Singh berkata, mangsa-mangsa yang berada di atas bangunan dipercayai gagal menyelamatkan diri kerana pusat tahfiz itu hanya mempunyai satu pintu masuk.

“Kebakaran yang berlaku di pintu masuk menyukarkan mereka untuk menyelamatkan diri dan tingkat-tingkap di atas pula tidak ada ciri-ciri keselamatan.

“Mayat-mayat yang ditemui dalam keadaan berhimpit-himpit antara satu sama lain,” katanya di sini.

Tambah beliau, punca kebakaran masih disiasat, malah permit operasi pusat tahfiz itu juga akan disemak.

Semua mayat mangsa kebakaran itu akan dibawa ke HKL. – MalaysiaGazette