Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bercakap pada sidang media berhubung dakwaan terdapat hubung kait dengan kabaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di banggunan PPIM, Kampung Datuk Keramat. foto SAFWAN MANSOR, 15 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa sebelum kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung berlaku terdapat beberapa individu yang berlegar-legar di kawasan itu dalam keadaan mencurigakan.

Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, menurut rakaman kamera litar tertutup (CCTV), beberapa individu didapati berada di sekitar kawasan ibu pejabat persatuan itu pada malam sebelum kejadian.

“Ada beberapa orang berlegar (dalam keadaan) mencurigakan. Kita tak dapat nafikan. Kalau ada unsur sabotaj harus ditangani,” katanya dalam sidang media petang tadi.

Premis PPIM adalah bersebelahan dengan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar pada pagi Khamis lalu.

Kejadian mengorbankan seramai 23 pelajar termasuk dua orang guru pusat tahfiz tersebut.

Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) itu juga tidak menolak kemungkinan ada unsur khianat terhadap PPIM sehingga melibatkan kebakaran Darul Quran.

“Ada kaitan dengan aktiviti PPIM (selama ini) yang mungkin orang nak balas dendam. Kita tidak berfikiran ke arah itu tetapi tiada yang mustahil. Kita tidak tahu,” katanya.

PPIM sebelum ini giat kegiatan mendapatkan aduan pengguna mengenai kegiatan judi, dan ceti haram.

Malah, pihak polis sudah meneliti rakaman daripada 20 unit CCTV dari premis PPIM bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian malang tersebut.

“CCTV kita boleh nampak pintu depan tahfiz. Sebarang petunjuk sekiranya berlaku kejadian khianat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast