Pusat Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah yang di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menjelaskan buat masa ini kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa itu disiasat sebagai kematian mengejut dan kebakaran sahaja.

Namun siasatan akan berubah sekiranya terdapat petunjuk baru bagi kes ini.

“Buat masa ini siasatan lebih fokus kepada laporan kematian mengejut dan laporan kebakaran sahaja.

“Kecuali kalau kita dapat laporan yang baru atau petunjuk yang baru dari forensik, laporan bedan siasat dan mungkin kita dapat laporan bomba yang beri kita maklumat,”jelas Mohamad Fuzi.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak bersabar kerana polis masih menunggu pelbagai laporan berhubung tragedi malang itu.

Mohamad Fuzi berkata demikian selepas majlis serah terima tugas jawatan pengarah dan pengerusi PERKEP cawangan khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman.

Dalam majlis itu Datuk Sri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilantik Pengarah Cawangan Khas, Datuk Sri Mohmad Salleh dilantik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Datuk Sri Wan Ahmad Najmuddin Mohd pula dilantik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah. – MalaysiaGazette