LONDON – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Britain Theresa May di 10 Downing Street di sini semalam.

Pertemuan Najib dengan May diadakan pada minggu sama pemimpin Malaysia itu mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di White House pada Selasa.

Najib tiba di 10 Downing Street, kediaman dan pejabat rasmi perdana menteri Britain itu, pada 5.05 petang (waktu tempatan) Khamis.

Ketibaan Najib disambut mesra oleh May dengan kedua-dua pemimpin itu saling berjabat tangan sambil jurufoto dan jurukamera merakam gambar mereka.

Ini disusuli dengan sesi memperkenaIkan anggota delegasi di hadapan Front Hall di alamat London yang terkenal itu.

Najib diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Ahmad Rasidi Hazizi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berlepas ke London dari Washington DC selepas melakukan lawatan kerja tiga hari ke Amerika Syarikat atas undangan Trump.

Pemimpin Malaysia itu berlepas pulang ke tanah air selepas pertemuannya dengan May.- BERNAMA