Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat peningkatan pendapatan pelaburan sebanyak 36.36 peratus kepada RM11.51 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2017 berbanding RM8.44 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Instrumen pendapatan tetap menyumbang 37.29 peratus, ekuiti (53.72 peratus), manakala instrumen pasaran hartanah dan infrastruktur dan instrumen pasaran wang masing-masing menyumbang 6.23 peratus dan 2.64 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, KWSP mencatatkan kekurangan bersih yang lebih rendah, sebanyak RM1.34 bilion pada suku kedua tahun ini, kenaikan RM2.28 bilion atau 62.98 peratus daripada RM3.63 bilion sebelumnya, dipacu oleh prestasi pasaran ekuiti.

Menurutnya, kedudukan pasaran semakin baik berbanding setahun yang lalu dengan kesemua kelas aset dalam portfolio KWSP mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang baik, dengan ekuiti terus menjadi pemacu keuntungan utama bagi suku tersebut.

Shahril berkata, walaupun KWSP mencatatkan peningkatan prestasi yang ketara tahun ke tahun bagi kedua-dua suku sebelumnya dan suku semasa tetapi momentum agak lemah menyebabkan keuntungan korporatnya normal pada suku kedua tahun ini.

KWSP menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang sederhana bagi suku akan datang.

Menurutnya, ekuiti yang meliputi 41.96 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP pada suku kedua menyumbang pendapatan sebanyak RM6.18 bilion, naik 61.45 peratus daripada RM3.83 bilion yang catat pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sejumlah RM820.71 juta daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM11.51 bilion dijana daripada Simpanan Syariah manakala RM10.69 bilion lagi menerusi Simpanan Konvensional.

Prestasi sektor perbankan sangat baik sejak awal tahun.

Nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM759.78 bilion, peningkatan sebanyak 3.92 peratus atau RM28.67 bilion berbanding RM731.11 bilion pada 31 Disember 2016.

Daripada jumlah aset pelaburan itu, sebanyak RM362.50 bilion atau 47.71 peratus membabitkan pelaburan patuh Syariah dan bakinya dilaburkan dalam aset bukan Syariah.

Setakat 30 Jun ini, 2017, pelaburan luar negara KWSP mewakili 29 peratus daripada jumlah aset pelaburan yang menyumbang 32.50 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan dalam tempoh tersebut.

Pada akhir 2016, KWSP menetapkan pulangan 3.83 peratus, melepasi inflasi, premium yang ketara melebihi dua peratus daripada sasaran strategik inflasi dan memastikan simpanan ahli tidak hanya dijaga tetapi dipertingkatkan.

Prestasi tinggi itu didorong oleh portfolio luar negara yang mencatatkan pulangan pelaburan tahunan (ROI) tiga tahun sebanyak 11.10 peratus sehingga Jun 2017 meningkatkan nilai pulangan KWSP.

Sehingga 30 Jun 2017, pendedahan KWSP kepada hartanah dan kelas aset infrastruktur kekal pada kira-kira empat peratus berbanding peruntukan aset strategiknya sebanyak 10 peratus.

Shahril berkata, dengan ringgit menunjukkan peningkatan stabil, pelaburan luar dijangka terus menjadi antara pemacu pendapatan KWSP pada masa akan datang. – MalaysiaGazette