KUALA LUMPUR – Remaja yang ditahan polis awal pagi tadi bukan suspek kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 pelajar termasuk dua guru pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, remaja berkenaan hanya ditahan untuk melengkapkan siasatan polis yang dimulakan sebaik kejadian berlaku.
“Remaja itu ditahan untuk melengkapkan siasatan.
“Tidak ada kena-mengena, ini kita tangkap untuk lengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Menurut laporan Harian Metro hari ini, polis telah menahan seorang pelajar tahfiz berkenaan yang didapati menyelinap keluar daripada asrama beberapa jam sebelum kejadian malang itu berlaku.
Malah remaja berkenaan dibawa ke lokasi kejadian hari ini untuk proses mengumpul bukti.
Ditanya sama ada remaja berkenaan adalah salah seorang pelajar tahfiz berkenaan, Fuzi berkata; Saya tidak mahu jawab tapi ada tangkapan. Kita sedang merungkai siasatan. -MalaysiaGazette.