Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Kluster Keselamatan di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Selepas membuat pengumuman mengenai satu pasukan khas bagi menyiasat insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan segera berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tujuan berkenaan.

Menurut Zahid, Najib akan pulang ke tanahair malam ini, dan pertemuan itu akan dibuat esok pagi bagi memohon kelulusan terus daripada Najib untuk mempercepatkan siasatan terhadap insiden berdarah itu.

“Semalam saya telah mengumumkan bahawa sebuah pasukan khas ditubuhkan kerajaan dan saya akan pengerusikan dan Perdana Menteri balik malam ini, (saya akan) jumpa beliau selewat lewatnya pagi esok (untuk) mohon kebenaran pembentukan task force dengan tidak bertujuan ambil alih kuasa kerajaan negeri.

“Kita akan membawa cadangan ini (kepada Perdana Menteri),” katanya dalam Dialog Perdana Transformasi Nasional (TN50) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.

Sebelum memulakan program, Zahid memohon agar semua peserta yang hadir agar membacakan Al-Fatihah kepada 23 pelajar dan guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan bertafakur selama seminit.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Nor Mohamad Rashid Ibrahim.

Semalam, Zahid menawarkan diri untuk mengetuai pasukan khas itu.

Penubuhan pasukan khas itu juga akan ditubuhkan segera tanpa perlu menunggu mesyuarat Kabinet yang akan diadakan Selasa depan berikutan tragedi korban tersebut merupakan suatu perkara serius.

Ia bagi menyiasat kematian 23 pelajar termasuk dua guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata siasatan pihaknya mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas.

Malah katanya, pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.

Ini kerana menurut warden pusat tahfiz berkenaan, Mohd Arif Mawardi, sebelum tidur jam 11 malam, tiada tong gas di luar pintu bilik asrama di tingkat 3, berhampiran tangga semasa dia melakukan pemeriksaan ke bilik asrama pelajar,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi pada Khamis itu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran terbabit. -MalaysiaGazette.