KUALA LIPIS – Seorang ahli perniagaan parah terkena tujuh das tembakan di Jalan Besar Kuala Medang-Sg Koyan, berhampiran Lombong Selinsing Gold Mine, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 55 tahun yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux itu, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Medang.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa ditembak dipercayai dari jarak dekat oleh lima suspek lelaki.
“Mangsa yang memandu bersendirian diserang dan ditembak oleh suspek yang menaiki kereta jenis Proton Wira. Motif kejadian masih dalam siasatan.
“Kami minta saksi yang mengetahui kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya lapor sebuah laman portal.
Beliau berkata, pihak polis juga akan merakam keterangan mangsa sebaik saja keadaannya mengizinkan.
Katanya, bahagian forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut dipanggil bagi membantu siasatan, termasuk mendapatkan kesan cap jari pada kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian.
“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Usaha menjejak suspek kini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette