Bendahari UMNO Bahagian Kelana Jaya, Datuk Mohd Syukri Abdul Majid (tengah) ditemui MalaysiaGazette dalam majlis penyampaian Sijil Takaful Khairat Kematian Hong Leong di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – UMNO Bahagian Kelana Jaya tidak terkejut dengan tindakan bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin semalam yang mengumumkan meninggalkan parti itu.

Bendaharinya, Datuk Mohd Syukri Abdul Majid mengingatkan Anina agar berhati-hati dalam setiap tindakan politiknya kerana umum mengetahui beliau pernah meninggalkan UMNO sebelum ini.

“Itu hak beliau, kebebasan telah diberikan, biarlah beliau fikir sendiri, jangan beliau menyesal di kemudian hari. Kita dengar bermacam kisah Anina ketika zaman Tun Mahathir mahupun zaman Tan Sri Muhyiddin Yaasin

“Secara umumnya dalam dunia politik ahli boleh masuk dan keluar parti, di akhirnya rakyat boleh nilai sendiri parti politik mana yang betul memperjuangkan negara dan rakyat serta ahli politik mana yang benar-benar ikhlas,” katanya kepada MalaysiaGazette, di PPR Lembah Subang 1, di sini, hari ini.

Terdahulu Mohd Syukri menyerahkan lebih 300 Sijil Takaful Kematian Hong Leong kepada penduduk PPR Lembah Subang 1 di bawah Tabung Amanah Lestari.

Bendahari UMNO Bahagian Kelana Jaya, Datuk Mohd Syukri Abdul Majid (tengah) selepas majlis penyampaian Sijil Takaful Kematian Hong Leong kepada penduduk PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya, hari ini.

Semalam, Anina dalam sidang media tergempar mengumumkan meninggalkan PPBM secara rasmi di Bangi.

Anina membuat keputusan itu ekoran hala tuju PPBM tidak lagi selari dengan aspirasi perjuangan politiknya dalam parti itu.

Tambahnya, pelbagai layanan buruk parti itu terhadapnya sepanjang berada dalam parti juga menjadi dorongan utama ‘mengangkat kaki’ daripada parti yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Mohd Syukri juga berkata, ahli-ahli UMNO dan masyarakat umum sudah boleh menilai siapa sebenar Anina sepanjang penglibatannya dalam dunia politik tanah air dan tindakannya itu bukan sesuatu yang luar biasa.

“Seseorang yang keluar masuk sesuatu parti itu, kita tidak perlu gusar mahu pun terus membuat rumusan, kita tengok dulu latar belakang ahli atau pemimpin politik itu, di situ kita nilai siap mereka, dan adakah perjuangan mereka berguna untuk rakyat dan negara.

“Sekarang ini rakyat pun sudah mula sedar, rakyat Malaysia bukan seperti dulu katak di bawah tempurung, bertamadun tinggi dan boleh berfikir, kita terima dengan hati terbuka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast