Home Nasional AirAsia terbangkan 10 mangsa kebakaran di Christchurch

AirAsia terbangkan 10 mangsa kebakaran di Christchurch

Salah seorang mangsa bersama anaknya yang disambut oleh kakitangan AirAsia ketika tiba di KLIA2 pagi ini. foto AirAsia

KUALA LUMPUR – AirAsia X telah selamat menerbangkan 10 warga Malaysia yang menjadi mangsa kebakaran di rumah sewa percutian di Christchurch, New Zealand.

Mereka diterbangkan dengan pesawat D7 207 dari Auckland dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini pada 4:55 pagi tadi.

Ketibaan mereka disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad, Benyamin Ismail.

Benyamin berkata: “Kami bersedih di atas tragedi malang ini dan kami bersyukur apabila mengetahui mereka dapat melepaskan diri daripada kebakaran tersebut dan kini selamat pulang ke Malaysia.

“Kami bersimpati dengan mangsa-mangsa dan terpanggil untuk membantu dengan memberikan bantuan tiket penerbangan pulang secara percuma bagi meringankan trauma akibat pengalaman buruk ini,” katanya.

Menurut laporan media asing, kebakaran itu berlaku pada 10 September lalu semasa mereka sedang bercuti di sebuah rumah percutian tiga tingkat yang diperbuat daripada kayu di Clinton Terrace, Sumner.

Kesemua mereka selamat tetapi enam orang mengalami kecederaan sederhana dan ringan, mendapat rawatan di Hospital Christchurch.

Kebakaran yang memusnahkan rumah tersebut, juga menyebabkan mereka kehilangan barang-barang milik peribadi mereka termasuk pasport. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast