KUALA LUMPUR – PKR Selangor hari ini mahu Pas negeri itu supaya bermuhasabah agar kembali ke meja rundingan bagi mengelak pertembungan tiga penjuru pada PRU-14 akan datang.
Menurut Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri itu, Syed Badli Syed Osman dalam satu kenyataan hari ini, Pas perlu merendahkan ego mereka sekiranya parti Islam itu masih memberi keutamaan kepada agenda rakyat.
“Dikala ini kita bekerjasama berdasarkan mandat yang diberikan rakyat pada pilihanraya umum lalu. Namun kerjasama ini akan berakhir apabila Pas bersedia untuk bertembung pada pilihanraya akan datang.
“Jika agenda rakyat masih menjadi pilihan Pas, pertembungan satu lawan satu adalah jalan terbaik. Rendahkan ego dan kembali ke meja rundingan. Namun sebaliknya jika Pas mahu gadaikan Selangor kembali ke tangan BN, maka Pas adalah musuh yang nyata.
“Semoga agenda rakyat terus dipertahankan melalui Pakatan Harapan. Perkemaskan jentera dan siap siaga menghadapi musuh,” katanya.
Menurut Syed Badli, sekiranya bekas parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu meneruskan hasrat mereka untuk berpaling tadah dengan kerajaan Selangor bawah PKR seperti hari ini, maka parti itu sudah tidak diperlukan dalam kerajaan negeri.
Justeru, menurutnya, kesemua jawatan yang disandang oleh ahli-ahli Pas dalam kerajaan negeri Selangor, perlu dilepaskan segera.
“Jika benar Pas mahu bertembung pada pilihanraya akan datang dan tidak berniat untuk mempertahankan kerajaan sedia ada, saya kira Pas sudah tidak relevan untuk terus kekal berada didalam kerajaan negeri Selangor.
“Seharusnya semua pemegang-pemegang jawatan Pas didalam kerajaan negeri Selangor sekarang harus melepaskan jawatan mereka berikutan kesediaan mereka untuk bertembung tiga penjuru,” katanya.
Terdahulu, Pas Selangor mengumumkan persediaan jenternya bagi menghadapi pilihanraya umum di Selangor dengan slogan “Menerajui Kesejahteraan Selangor”.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi mengulangi sekali lagi kesediaan partinya untuk bertanding di 42 kerusi DUN di Selangor termasuk di kerusi milik PKR -MalaysiaGazette