Ketua Pegawai Eksekutif Lembaha Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani (kanan) menyerahkan pampasan khairat kematian kepada keluarga waris, Jasliza Begum Mohammad Bashir (kiri) yang kehilangan ibunya ketika mengerjakan ibadah haji pada musim ini.
SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menziarah ke kediaman salah seorang jemaah hajinya dari Tanah Rata, Cameron Highlands yang meninggal dunia ketika mengerjakan ibadah haji pada 6 September lalu di Makkah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani berkata, Jante Biby Mohd Shariff, 67 meninggal dunia pada jam 2 petang (waktu tempatan) akibat jangkitan kuman.
“Allahyarhamah berlepas ke tanah suci dengan penerbangan XY14 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Makkah pada 1 Ogos 2017.
“Jenazah Allahyarhamah telah diuruskan oleh petugas TH dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ie pada 7 September 2017,” katanya ketika menziarah kediaman anak Allahyarhamah di Hijauan Saujana, di sini, hari ini.
Ziarah itu merupakan kali-19 kunjungan pihak TH ke kediaman waris dan ahli keluarga jemaahnya yang meninggal dunia ketika mengerjakan ibadah haji pada musim ini.
Sehingga kini, seramai 55 jemaah haji di bawah kelolaan TH meninggal dunia di tanah suci Makkah manakala seorang jemaah meninggal dunia ketika tiba di tanahair.
Beliau berkata, setiap jemaahnya yang dilindungi takaful diberikan pampasan berupa khairat kematian kepada keluarga waris sebanyak RM3,000.
“Pampasan RM1,500 digunakan untuk menguruskan dan mengebumikan jenazah di Makkah dan bakinya RM1,500 diberikan kepada keluarga waris,” katanya.
Selain pampasan itu, pihak TH turut memberikan sumbangan lain berupa sebotol air zam-zam dan kurma dari Makkah. – MalaysiaGazette