Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Rayuan bagi mengikuti prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad bertegas kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing sehingga tahun 1994 hanya berjumlah RM5.7 bilion.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, jumlah berkenaan diberitahu bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada barisan Kabinet dimana ia sama sebagaimana yang dibentangkan di Parlimen.

“Tiada jumlah lain. Saya tidak tahu sama ada Anwar ingat atau tidak. Tapi saya ingat jumlah itu adalah RM5.7 bilion,” katanya.

Kenyataan Mahathir itu terus mendapat perhatian Pengerusi RCI, Tan Sri Sidek Hassan.

“Sekiranya anda (Mahathir) tahu mengenainya, adakah anda bersetuju dengan Anwar tentang tidak memaklumkannya kepada kabinet?” soal Sidek dan Mahathir menjawab, beliau tidak mengetahui apa niat Anwar.

“Saya tidak tahu. Saya tidak cakap dia bohong, mungkin dia berbohong kepada kabinet, boleh tanya dia,” jawab Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu.

Sidek dalam pada itu berkata, Anwar pernah memberitahu RCI bahawa ada mesyuarat kabinet pada tahun 1994 ada membincangkan mengenai kerugian BNM.

“Itu yang dimaklumkan kepada kabinet,” kata Mahathir.

Lantas peguam Mahathir, Haniff Mohamed Haniff Khatri Abdulla bangun dan menegaskan, Anwar tidak bersetuju bahawa dia tahu mengenai kerugian sebenar.

Lalu berlaku pertikaman lidah antara Sidek dengan Haniff. Sidek menegaskan bahawa Anwar tahu mengenainya.

“Hakikatnya dia (Anwar) tahu kerugian sebenar. Dia diberikan dokumen itu,” tegas Sidek. -MalaysiaGazette.

1 Komen

Comments are closed.