Bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (tengah) berjalan keluar dari lobi Kementerian Kewangan selepas memberi keterangan kepada Pasukan Petugas Khas Kerugian Bank Negara Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 26 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menjadi salah seorang saksi Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung skandal urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia 1990-an meletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Khazanah dalam kenyataannya berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan oleh Nor Mohamed pada mesyuarat hari ini dan ia berkuatkuasa pada 30 September ini.

Beliau juga akan meletak jawatan Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang disandangnya berkuat kuasa tarikh yang sama.

Tiada pengganti Nor Mohamed dinyatakan oleh Khazanah setakat ini.

Bekas Menteri Kewangan itu dilantik dalam Lembaga Pengarah Khazanah selama 15 tahun, menjadikan beliau ahli lembaga paling lama dan timbalan pengerusi dalam tempoh 23 tahun.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Khazanah berkata, lembaga pengarah sayap pelaburan negara itu menerima keputusan Nor Mohamed.

Datuk Seri Najib Razak merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan Nor Mohamed kepada Khazanah, khususnya dalam Program Transformasi 10 tahun Syarikat- Syarikat Milik Kerajaan (GLC), yang memacu Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC.

“Nor Mohamed telah memainkan peranan penting dalam pelbagai kejayaan termasuk perubahan dan transformasi Khazanah dari tahun 2004 hingga sekarang.

“Ini termasuk Program Transformasi Syarikat 10 tahun GLC dari 2004 hingga 2015, pembangunan pelbagai koridor ekonomi termasuk Iskandar Malaysia serta pembentukan Yayasan Hasanah dan Institut Penyelidikan Khazanah.

“Inisiatif-inisiatif ini dan lain-lain telah dilaksanakan dalam kapasitinya sebagai ahli lembaga Khazanah dan semasa dalam perkhidmatan awam sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri dari 2000 hingga 2003, Menteri Kewangan II antara 2004 dan 2009 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi dari tahun 2009 hingga 2013,” kata Khazanah. – MalaysiaGazette