KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memuji tindakan segera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan program Better Beer Festival 2017 yang akan diadakan di Publika Mall, Solaris Dutamas pada 6 dan 7 Oktober ini.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, kesan alkohol terhadap masyarakat tidak boleh dipandang rendah dan kesannya boleh mempengaruhi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Penggunaan alkohol juga katanya, sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kecederaan serta kemalangan dan belum lagi disentuh mengenai masalah perubatan, psikiatri, sosial dan keluarga.
“Kita setuju dengan alasan DBKL membatalkan program itu, yang mempunyai masalah dari segi pelesenan dan sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia.
“Perkasa juga memberi amaran keras kepada wakil rakyat DAP dan PKR agar jangan biadab atau cuba mengganggu bidang tugas DBKL dalam melaksanakan amar makruf nahi munkar.
“Kita sentiasa berada di belakang DBKL dalam mempertahankan tindakannya membatalkan program Better Beer Festival 2017,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Sebelum ini, Tan Kok Wai (DAP Cheras), Fong Kui Lun (DAP Bukit Bintang), Teresa Kok (DAP Seputeh), Dr. Tan Kee Kong (PKR Wangsa Maju) dan Lim Lip Eng (DAP Segambut) telah mengeluarkan kenyataan bersama yang menyelar keras tindakan DBKL.
Bahkan mereka menuduh DBKL berlagak menjadi jaguh agama, selain menyifatkan tindakan itu sebagai tidak prihatin dan kelihatan tunduk dengan permainan parti politik serta tidak mempedulikan semangat muhibah pelbagai kaum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dr. Amini Amir menegaskan, Malaysia adalah sebuah negara Islam sejak 2001 dan dalam Perlembagaan Persekutuan pula termaktub Islam sebagai agama persekutuan.
“Apakah cabaran sebegini tidak menggusarkan umat Islam dalam negara yang kita cintai ini, di mana majoritinya adalah umat Islam? Apa ertinya Islam agama persekutuan sekiranya maksiat sebegini diagung-agungkan, tidak ditegah dan ditolak?
“Walaupun program ini tidak bercanggah dengan undang-undang negara, tetapi dari segi moralnya ia sangat bertentangan dengan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati.
“Hakikatnya, apakah tidak cukup dengan beribu-ribu kedai arak, pub, kelab malam, discotheque, pusat karaoke dan pelbagai jenis pusat hiburan yang menghidangkan pelbagai jenis arak?” soal beliau. – MalaysiaGazette
Comments are closed.