Mustafar Ali

SHAH ALAM – Isu petempatan haram yang didiami warga asing tanpa izin menuntut kerjasama pelbagai agensi khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diselesaikan, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali.

Katanya isu itu tidak akan dapat ditangani secara efektif tanpa tindakan susulan daripada jabatan dan agensi berkaitan kerana rantaian kesalahan yang membabitkan pendatang tanpa izin tidak terhad kepada akta berkaitan imigresen semata-mata.

“Apabila lihat kawasan (petempatan haram didiami pendatang tanpa izin) masyarakat tempatan bertanya kepada (Jabatan) Imigresen kenapa PBT tidak ambil tindakan awal.

“PBT mempunyai kuasa merobohkan petempatan haram didiami pendatang haram yang tidak mengikut peraturan dan kita mahu agensi itu membuat tindakan susulan ke atas premis yang diserbu oleh Jabatan Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Ikrar Jabatan Imigresen Selangor-Putrajaya di tiga petempatan haram sekitar kawasan perindustrian Kampung Baru Subang, dekat sini awal pagi tadi.

Mustafar berkata selain menjadi lokasi persembunyian pendatang tanpa izin, kewujudan petempatan haram turut meningkatkan risiko keselamatan kerana melibatkan kes penyambungan elektrik secara haram.

Mengenai serbuan hari ini, beliau berkata seramai 117 warga asing ditahan daripada 360 orang yang diperiksa.

Mereka yang merangkumi 97 lelaki dan 20 wanita berumur di antara 18 dan 50 tahun melibatkan warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar ditahan atas kesalahan antaranya memiliki pasport palsu, pelekat imigresen palsu serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, selain seorang penuntut yang ditahan kerana menyalahgunakan visa pelajar.

“Kebanyakan yang ditahan bekerja sebagai pekerja binaan dan pekerja kilang di kawasan ini,” katanya yang menegaskan tindakan turut diambil ke atas majikan yang menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin itu.

Mengulas mengenai kad sementara ‘Enforcement Card’ (E-Kad) untuk pendatang tanpa izin, beliau berkata lebih 13,000 pendatang tanpa izin telah ditahan dalam Op Mega Jabatan Imigresen sejak 1 Julai lepas sehingga kini.

Katanya dalam tempoh itu, 312 majikan turut ditahan dengan lebih 100 majikan berdepan tindakan undang-undang termasuk aset dan akaun dibekukan.

Program E-Kad yang dilancarkan pada 15 Feb dan berakhir pada 30 Jun lalu dilaksanakan bagi membolehkan pendatang tanpa izin mendapatkan permit kerja sah menerusi beberapa prosedur yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri.

— BERNAMA