Menteri Pendidikan merangkap Penaung Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada Farawahida Wahid iaitu ibu kepada salah seorang mangsa kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah, Allahyarham Muhammad Aiman Ramzanuddin sambil diperhatikan oleh Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (kanan) dan Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmod (dua kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) kepada Waris Pelajar dan Guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – “Pusher boleh sampai kepada pelajar dengan cepat,” kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khir  yang mengakui kesukaran pihak kementerian untuk mengesan apa yang diambil oleh para pelajar kerana dadah datang dalam pelbagai bentuk.

Menurut beliau, memerangi penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar merupakan cabaran kementeriannya selain masalah pengaruh rakan sebaya dan anasir luar.

“Masalah sekarang ini dadah datang dalam pelbagai jenis pil dan susah kita nak kesan apa yang dia ambil,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Yayasan Guru Malaysia (YGMB) kepada waris mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, hari ini.

Berhubung cadangan Pindaan Akta Pelajaran 1996 (Akta 550), Mahdzir berkata, satu jawatankuasa rundingan dengan kerajaan negeri akan diwujudkan dalam masa terdekat.

Katanya, itu antara syor segera yang dilihat penting bagi menambahbaik system pendidikan negara membabitkan sekolah kebangsaan dan sekolah tahfiz di peringkat persekutuan dan negeri termasuk yang tidak berdaftar.

“Ini syor kita bagi membolehkan sekolah menambahbaik sistem pendidikan yang ada. Ada syor lain berkaitan dengan syarat-syarat untuk membuka sekolah yang berdaftar dengan kementerian,” ujarnya.

Tambah beliau, jawatankuasa terbabit akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri sebelum membuat pindaan terhadap akta itu.

Pada Khamis lepas, seramai 23 penghuni pusat tahfiz tersebut termasuk 21 pelajar dan dua guru terkorban dalam insiden yang berlaku pada pukul 5.15 pagi – MalaysiaGazette