KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat Wira Perkasa Malaysia berhubung khabar angin kemungkinan adanya penganjuran pesta tarian gay terbesar di ibu kota pada 30 September ini.
Laporan itu dibuat kira-kira jam 1 tengah hari tadi di Balai Polis Dang Wangi meminta pihak berkuasa menyiasat laporan yang disiarkan beberapa media semalam yang mendakwa pesta tarian itu akan diadakan di Rooftoop Gtower di sini.
Menurut Ketua Wira Perkasa Malaysia, Burhanuddin Ruslan, pihaknya memandang serius jika dakwaan itu benar kerana ia akan membawa persepsi buruk kepada Islam agama persekutuan dan rakyat negara ini khususnya.
“Sebagai anak muda, kita menentang keras pesta tarian gay ini yang dikatakan akan diadakan secara terbuka.
“Tindakan pihak penganjur ini seolah mencabar nilai murni yang diamalkan negara ini, selain boleh menimbulkan kesan tidak baik kepada masyarakat dan kumpulan gay itu sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Semalam, beberapa media melaporkan, parti muzik gay White Party BBK Warm Up yang dikatakan terbesar di dunia akan mengadakan pesta tarian di Rooftoop GTomer, Kuala Lumpur.
Berdasarkan poster dan laman web, pesta tarian itu dianjurkan Divine Bliss Malaysia dan menjemput semua ahli komuniti LGBT serta gay seluruh negara untuk memeriahkannya.
Menurut Burhanuddin, walaupun ada yang menyokong pesta itu diadakan, ia adalah dari golongan minoriti yang tidak boleh mengatasi keharmonian nilai moral golongan majoriti.
“Kita berharap, pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan drastik menghalang pesta itu daripada diteruskan kerana penganjuran pesta seperti itu melanggar undang-undang dan bertentangan dengan syariat Islam serta agama lain.
“Penganjur juga melanggar etika tatasusila masyarakat kita dan turut bertentangan dengan moral dan akhlak rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau hairan kenapa masih ada pihak tertentu menghalalkan aktiviti seperti itu yang jelas akan meruntuhkan akhlak dan institusi masyarakat negara ini.
“Wira Perkasa Malaysia dengan ini memohon pihak berkenaan termasuk Majlis Raja-Raja sebagai Ketua Agama mengambil serius dengan perkara sedemikian, sebelum ia menular dan akhirnya menjadi kebiasaan kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette