KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Cabang PKR Puchong, S. Murali hari ini mengumumkan keluar parti secara rasmi ekoran hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Keputusan itu dibuat berikutan presiden PKR itu telah memilih Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Saya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mulai hari ini (20 September 2017), kerana hilang kepercayaan terhadap pimpinan parti yang melantik bekas presiden UMNO Tun Mahathir untuk jawatan Pengerusi Pakatan Harapan.

“Dan tidak memberi keutamaan kepada kaum India (Tamil) dalam jawatankuasa Pakatan Harapan,” katanya yang dipetik melalui laman sosial Facebook miliknya semalam.

PKR terus dihimpit kemelut dalaman parti ekoran masih ada pemimpin yang tidak berpuas dengan struktur kepimpinan dalam PH.

Julai lalu, Mahathir diumum sebagai Pengerusi PH dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum PH, jawatan yang sama disandang beliau dalam PKR.

Isteri Anwar, Wan Azizah pula dilantik sebagai presiden gabungan empat parti pembangkang itu.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu dipilih sebagai Timbalan Presiden PH.

Murali adalah antara individu yang lantang menyuarakan penyelewengan dalam parti.

Beliau sebelum ini pernah mendakwa ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar atas tuduhan menyeleweng dana untuk membantu mangsa banjir.

Murali mendakwa kakitangan pusat khidmat DUN Sri Andalas mengisi borang bantuan dengan pensil untuk menyeleweng bantuan berkenaan.

Namun, tuduhan itu dinafikan Xavier yang turut membuat laporan polis ke atas tindakan dua ahli PKR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.