Pengendalian kargo di Tanjung Pelepas. Gambar hiasan
PUTRAJAYA – Pelabuhan Malaysia merupakan antara yang paling cekap di dunia dengan keupayaan untuk memenuhi keperluan syarikat perkapalan pada caj yang amat kompetitif, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Daya saing negara, terutamanya Pelabuhan Klang tidak terjejas walaupun langkah oleh Ocean Alliance, yang diterajui oleh CMA CGM, memindahkan operasi mereka ke Pelabuhan Singapura.

“Ia hanya kesan jangka pendek susulan langkah oleh Ocean Alliance, serta penggabungan dan pengambilalihan CMA CGM,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Logistik Kebangsaan (NLTF) Ketiga pada Khamis.

Liow berkata dengan dua daripada tiga pakatan perkapalan beroperasi di Singapura, syarikat perkapalan akan mendapati lebih mencabar untuk beroperasi, terutamanya pengangkutan, di negara itu.

“Lebih munasabah bagi setiap pakatan untuk menempatkan habnya di pelabuhan yang berbeza supaya ia dapat bersaing dengan memanfaatkan kekuatan rantaian bekalannya.

“Tetapi kini, mereka bersaing dalam hab tunggal di pelabuhan yang sama tanpa memperoleh sebarang kelebihan strategik.

“Dengan syarikat perkapalan mengukuhkan persaingan antara satu sama lain di Singapura, Pelabuhan Klang akan berpotensi menjadi hab alternatif yang menarik pada masa depan. Ini merupakan peluang keemasan bagi syarikat perkapalan,” katanya.

Liow turut menegaskan pelabuhan Malaysia dijangka berkembang dengan pesat dengan jumlah perdagangan yang meningkat.

“Pada 2016, jumlah perdagangan kita sebanyak RM1.48 trilion manakala bagi tempoh tujuh bulan pertama sehingga Julai 2017, ia melebihi RM1 trilion, merupakan kadar yang paling cepat.

“Jumlah kendalian bagi tempoh lapan bulan pertama pada 2017 bagi Pelabuhan Klang meningkat 5.5 peratus kepada 2.85 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) berbanding 2.70 juta TEU dicatatkan dalam tempoh sama pada 2016,” katanya.

Jumlah kargo turut dijangka meningkat dengan penubuhan pusat pengedaran serantau di kawasan pelabuhan.

Selain itu, pelabuhan kita terus fokus kepada menarik kargo dari rantau Asia Tenggara, katanya.

Mengenai Pelan Induk Perkapalan Malaysia, Liow yakin pelan itu akan membawa industri perkapalan ke tahap yang lebih tinggi.

Liow berkata beliau akan mempengerusikan Majlis Perkapalan Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti semula industri perkapalan Malaysia ke arah masa depan yang lebih cerah.

Mengenai langkah-langkah untuk meningkatkan Indeks Prestasi Logistik (LPI) Malaysia, katanya NLTF akan bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia untuk menangani cabaran dan kesesakan dalam sektor logistik dan pemudahan perdagangan.

“Kami akan membentuk kumpulan fokus yang akan membincangkan dan mengemukakan cadangan kepada NLTF. Diharapkan, pendekatan ini dapat membantu meningkatkan kedudukan LPI kami pada masa akan datang,” kata Liow.

Mengenai kesambungan peringkat akhir ke Pelabuhan Klang, menteri itu melahirkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya dan agensi yang terlibat bagi pelaksanaan projek itu yang mengikut jadual dan dijangka siap bulan depan.

Berhubung Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang terletak di KLIA Aeropolis, Liow menggesa MAHB untuk memantau kerja-kerja menaik taraf di tapak Terminal Penerbangan Tambang Rendah sebelum ini untuk memastikannya siap mengikut jadual dan beroperasi pada akhir tahun.

“Jack Ma (Pengasas Alibaba) akan melawat Malaysia pada November. Kita perlu bersedia untuk memanfaatkan lawatannya,” kata Liow.

— BERNAMA