KUALA LUMPUR – Raja lompat jauh para dunia, Abdul Latif Romly tidak berdepan masalah meraih emas pada Sukan Para Asean di Stadium Bukit Jalil, hari ini.
Atlet berusia 20 tahun itu hanya perlu melakukan lompatan terbaik pada percubaan pertama sahaja dengan catatan 7.41 meter.
Abdul Latif kelahiran Kampung Paya Kelubi, Perlis bagaimanapun gagal memperbaharui rekod lama kejohanan iaitu 7.43 meter.
Ini kerana lompatan keduanya mencatatkan jarak 7.26 meter, diikuti lompatan keempat 7.25 meter dan kelima 7.19 meter. Lompatan ketiga dan keenamnya batal.
Namun lebih manis, kejayaan Abdul Latif itu disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
“Saya yakin untuk raih pingat emas tetapi apa yang saya sasarkan untuk perbaiki rekod peribadi,” jelas Latif selepas pertandingan berakhir.
Namun jelas Abdul Latif, kecederaan lama di buku lalu yang berulang kembali menyebabkan dia tidak dapat melakukan lompatan yang lebih baik.
Sementara itu, pingat perak dimenangi pencabar terdekatnya dari Singapura, Suhairi Suhani dengan jarak 6.85 meter.
Seorang lagi atlet negara, Zulkifly Abdullah merangkul pingat gangsa selepas melakukan lompatan terbaik pada percubaan kelima iaitu 6.51 meter.
Latif terus mengekalkan rekod terbaik dalam acara kategori T20 (masalah pembelajaran) ini selepas dua bulan melakar gelaran dunia pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London dengan rekod 7.60 meter.
Tahun lalu dia turut meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik di Brazil. – MalaysiaGazette