Barisan pelakon Bisik Pada Langit dari kiri, Naim Daniel, Beto Kusyairy, Ummi Nazeera, Jalil Hamid dan Erwin Dawson bergambar kenangan pada Malam Gala Filem Bisik Pada Langit di GSC Pavilion, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,07 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Susah untuk menyenaraikan filem di Malaysia yang mengangkat isu keluarga sebagai tema penceritaan.

Kalau ada pun, isu kekeluargaan cuma digarap sebagai latar penceritaan.

Tak tahu mana silapnya, mungkin tema sebegitu sukar ‘mengajak’ penonton ke pawagam.

Malahan mustahil sesebuah produksi bersedia mendengar laporan filem mereka tidak laku.

Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia mengisi kelompongan yang ada.

Filem yang sarat dengan air mata itu tampil dengan tema yang begitu dekat dengan masyarakat.

Namun Kabir asalnya tidaklah menerbitkan karya itu sebagai filem sebaliknya sebuah telemovie untuk siaran Astro.

Bagaimanapun pihak Astro berasa karyanya layak diletakkan di pawagam kerana kualiti kerja Kabir.

Mengenali nama Kabir dia bukanlah calang-calang nama. Lihat sahaja profilnya sebagai pengarah dan penerbit menerusi filem Nur Kasih, Cinta, Sepi dan Amukan Azazil.

Pengarah kelahiran New Delhi itu mampu ‘berbicara’ melalui sinematografi dengan begitu indah.

Bisik Pada Langit mengisahkan Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera) yang menyambung pelajaran ke luar negara maut dalam kemalangan ketika menaiki motosikal.

Siti Hajar merupakan anak perempuan tunggal Wak Selamat (Jalil Hamid).

Sebagai anak perempuan Siti Hajar dijadikan harapan keluarga untuk mengubah nasib mereka.

Bermula dengan kisah Siti Hajar mengalami kecederaan parah, plot dikembangkan bagaimana kebimbangan ayah tentang nasib anaknya itu di luar negara.

Seterusnya kekalutan membuka plot bagaimana perasaan abang Hajar, Zaidi (Beto Kusyairi) dan adiknya, Ikram (Naim Daniel) terhadap bapa mereka membesarkan mereka sebelum ini.

Sikap Wak Selamat yang terlalu membimbangkan anak perempuan telah tanpa disedari menyebabkan dua anak lelakinya rasa tersisih.

Secara keseluruhannya, Bisik Pada Langit mengukuhkan nama dan profil Kabir dalam industri.

Keindahan alam, cinematografi dan suntingan dimanupulasi dengan baik bagi mewujudkan rasa harmoni antara perasaan sedih dan kagum.

Jangan dipertikai persembahan para pelakon, nama-nama mereka sahaja sudah memberitahu kita dimana tahap kualiti mereka.

Pelakon lain yang turut membintangi filem ini termasuklah Erwin Dawson dan Datin Fadzilah Mansor.

Bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan kecil dalam filem ini.

Misalnya terlihat microphone receiver pada pakaian pelakon dalam beberapa babak.

Satu perkara lain yang mungkin terlepas pandang, pakaian Erwin kelihatan berulang-ulang seolah-olah hanya itu sahaja pakaian yang dipakai.

Bagaimanapun, mungkin boleh diterima dia memakai pakaian sama sejak hari kemalangan hingga hari tiba di Malaysia.

Namun pakaian ketika awal-awal mendaftar di universiti juga pun masih pakaian yang sama.

Filem terbitan FilemScape dan Nusantara Seni Karya Sdn Bhd bersama edaran Astro Shaw ini mula berada di pawagam 21 September lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast