Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman

KUALA LUMPUR – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menggelarkan semua yang telah meninggalkan PPBM sebagai sampah’ menerima kritikan daripada bekas setiausaha parti itu, Kamarulazman Habibur Rahman.

Dr Mahathir dipercayai berkata demikian dalam satu ceramah bersama penyokongnya di Bukit Merah, Perak pada 22 September lalu.

“Ketika berceramah di Bukit Merah, Perak, Tun Mahathir dengan sinis menyindir mereka yang meninggalkan PPBM sebagai ‘sampah’.

“Mungkin di Malaysia hanya Tun Mahathir sahaja yang layak menggelar orang lain sampah kerana beliau beranggapan bahawa beliau adalah insan terpilih dan tidak pernah berbuat salah.

“Namun saya tidak terkejut dengan kenyataan itu kerana pasti ketika seseorang itu mencecah usia 92 tahun, kewarasan bukanlah menjadi teman 24 jam sehari,” sindir Kamarulazman seperti dilapor sebuah laman portal.

Kamarulazman merupakan pemimpin pertama PPBM yang mengumumkan keluar parti pada April lalu selepas mendakwa parti berkenaan dipenuhi amalan kronisme, pihak yang gila jawatan malah hala tuju perjuangan yang kabur.

Selepas beberapa pemimpin sayap dan ahli-ahli di peringkat negeri turut meninggalkan parti, PPBM juga menerima tamparan dengan ketiadaan Datuk Ezam Mohd Noor, dan paling terbaru membabitkan Anina Saaduddin dan Datuk Hamidah Othman.

Kamarulazman kemudiannya bertanyakan Dr Mahathir apakah perjuangan PPBM kini masih di landasan sebenar sedangkan ia sudah tersasar jauh demi kepentingan sesetengah individu sahaja.

“Saya juga tidak pasti siapa atau apakah sebenarnya sampah di dalam PPBM itu sendiri. Benarkah yang keluar itu sampah atau yang tinggal itu sampah?

“Atau adakah perjuangan itu adalah sampah sebenarnya. Mana tidaknya, perjuangan sebenar PPBM adalah untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang sah mengikut perlembangaan dan ini banyak memecah belahkan bangsa. Bukankah perjuangan PPBM mempunyai muslihat meletakkan seorang anak emas' yang tidak mempunyai kebolehan ditakhta impian’ ketika matahari semakin hampir melabuhkan tirainya?,” ujarnya.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dirujuk sebagai `anak emas’ yang mana perjuangan PPBM ini diadakan demi memenuhi cita-cita Dr Mahathir.

Kamarulazman juga mempersoal apakah gelaran `sampah’ itu juga layak diberikan kepada Pengerusi PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat tiada kredibiliti memimpin parti apatah lagi hanya menuruti kehendak Dr Mahathir.

“Atau adakah presiden itu sampah sebenarnya kerana memegang jawatan tetapi tidak punya kuasa kerana takut dinyahkan oleh pemimpin senja?

“Atau adakah budak budak di keliling Presiden itu sampah sebenarnya kerana menjadi tukang atur dan tukang karut hingga menyebabkan parti ini condong menanti rebah untuk menghempap rumah rumah usang kampung Melayu?,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.