Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmod.
KUALA LUMPUR – Pusat Darul Quran Ittifaqiyah menegaskan pihaknya tidak pernah sesekali menubuhkan sebarang tabung sumbangan bencana, sebaliknya bantuan kewangan yang diterima hasil derma daripada masyarakat Malaysia.
Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood berkata, sepanjang 10 hari sejak insiden yang mengorbankan 23 warganya, pihaknya menerima ucapan takziah dan sumbangan ikhlas daripada masyarakat.
“Segala sumbangan ini semua kami terima sebagai amanah untuk melaksanakan hasrat masyarakat menghulurkan bantuan kepada mangsa tragedi ini dan juga bagi tujuan pembangunan semula madrasah.
“Kami ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberikan pelbagai bantuan kepada kami. Insya-Allah, setelah keadaan lebih reda, kami berhasrat untuk menghubungi semua pihak dan agensi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini pihaknya giat menjalankan urusan dalaman madrasah dengan beberapa agensi kerajaan termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, pihak polis dan bomba.
Mengulas lanjut sumbangan orang ramai, beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan laporan lengkap berhubung pengurusan sumbangan daripada pelbagai pihak.
“Kami akan bincangkan sewajarnya dengan pihak kerajaan serta pihak-pihak lain yang perlu dan berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zahid berkata, mesyuarat pengurusan pusat tahfiz itu telah memutuskan, penempatan petugas mereka di kaunter di hadapan premis terbabti sehingga 11.00 malam 30 September ini.
“Pihak madrasah Darul Quran Ittifaqiyah ingin sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dan menberikan sumbangan kepada kami,” katanya lagi. – MalaysiaGazette