Pelajar, Mohd Amerul Rejab Ihsan bejalan kaki merendah air ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette mengenai banjir di Sekolah Kebangsaan Seri Banai Jitra, Kedah. foto IQBAL BASRI, 25 SEPTEMBER 2017

KANGAR – Pusat pemindahan mangsa bencana banjir yang dibuka diseluruh negeri Perlis dijangka ditutup sepenuhnya pada Khamis ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Left.Kol (PA), Ishak Mohd. Radzi berkata, setakat pukul 2.30 petang tadi sebuah lagi pusat pemindahan mangsa banjir telah ditutup.

“Pada hari pertama bencana Khamis lalu sehingga 2.30 petang tadi hanya terdapat 251 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan sementara yang dibuka APM seluruh negeri.

“Setakat petang hari ini, hanya tujuh pusat sahaja masih beroperasi daripada 25 yang telah dibuka sejak Khamis minggu lalu seluruh negeri.

“Cuaca sangat baik dan kami menjangkakan semua pusat pemindahan ditutup sepenuh Khamis ini, kerana keluarga mangsa bencana sudah balik ke kediaman mereka secara berperingkat,” katanya kepada MalaysiaGazette di Ibu Pejabat APM negeri di Jalan Persiaran Wawasan di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sejak bilik gerakan dan pusat pemindahan mangsa dilancarkan pada Khamis lalu, seramai 351 anggota dan 23 pelbagai aset telah dikerah seluruh negeri.

Semua terlibat dalam tugas pemantauan situasi mangsa banjir selama 24 jam sehari dan keadaan banjir terkawal, katanya.

Ishak berkata, hujan lebat luar biasa menyebabkan air naik berbanding hujan lebat sebelum ini turut menyebabkan banjir tetapi tidak seteruk ini.

“Situasi air pasang Khamis minggu lalu memburukkan lagi keadaan, namun hasil pemantauan kami air sudah surut di kebanyakan tempat yang terjejas.

“Antara kawasan yang kita nampak terjejas teruk kali ini ialah Kampung tebing Tinggi, Kampung Wang Ulu dan Kampung Wang Bintong, Kangar,” ujarnya.

Ulas Ishak, pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Perparitan dan Saliran negeri supaya mempercepatkan proses mengepam air banjir.

“Kita memang nampak ada kawasan terjejas banjir airnya masih belum surut sepenuhnya kerana air tenang dan termenung.

“Kita akan mempercepatkan proses mengepam air ini supaya semua boleh kembali ke kediaman segera selepas proses pembersihan selesai.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan bantuan kecemasan banjir dengan menguhubungi Bilik Gerakan Bencana Perlis APM di talian hotline, 04-9777991. – MalaysiaGazette