Temubual Eksklusif bersama Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao di Studio Malaysia Gazette, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 MEI 2017
KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak digesa mengutamakan hati pengundi berbanding hati komponen BN dalam menentukan parti mana yang layak bertanding dalam mana-mana kerusi.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, bagi memastikan pengundi kembali menyokong BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti komponen perlu memberi laluan kepada calon mesra BN untuk bertanding mengambil alih kuota kerusi mereka sementara waktu.

“PRU12 dan PRU13 sudah kalah, kerusi-kerusi yang tewas dua kali bagi peluang kepada calon-calon mesra BN, calon langsung, jadi saya minta parti komponen bekerjasama sikit.

“Menang sekali, lepas itu PRU15 ambil laa balik (kerusi), bagi balik kerusi kalau tidak, biar calon mesra BN itu masuk dalam parti berkenaan (komponen BN) ataupun sebaliknya, itu terpulang.

“Kalau Datuk Seri Najib buat tindakan ini, mungkin kurang popular dalam BN, tetapi akan popular dalam kalangan hati pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Ramesh berkata, sudah tiba masanya pimpinan BN memenuhi kehendak rakyat yang mahu seorang wakil rakyat yang benar-benar berani bersuara dalam Parlimen dan bukan jadi pak turut sahaja.

“Calon mesra BN ini yang selalu bersuara, tidak tunduk kepada desakan ataupun ugutan mahupun tekanan. Sekarang rakyat mahukan calon yang berani bersuara dalam Parlimen, bukan calon bacul, bukan calon Yes Man!

“Yang salah tetap salah, yang betul tetap betul, kalau ini membebankan rakyat, kita lawan,” tegasnya.

Beliau berkata lagi, kriteria calon BN perlu diteliti dan mengambil kira sensitiviti pengundi sesuatu kawasan yang sukar menerima calon luar atau calon terjun pada saat akhir.

“Kita kena tengok kriteria calon, apa yang berlaku di Shah Alam tempoh hari telah menggugat 60 peratus undi kaum India di Selangor. Ini terbukti, malahan penyokong BN sendiri tidak menyokong BN sebab tindakan-tindakan yang tidak popular.

“Setiap tindakan itu biar berbaloi, biar menguntungkan BN, biar memberikan kebaikan kepada rakyat, jangan hanya syok sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.