Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Menjadi tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk campur tangan termasuk menyenaraikan nama individu tertentu yang dilarang masuk ke negara ini kepada Jabatan Imigresen.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegur Jakim atas campur tangan itu disifatkan sebagai pemimpin ‘double standard’ yang hanya nampak kuman di seberang laut, tetapi tidak pintar.

Kata beliau, Islam adalah agama persekutuan dan menjadi tanggungjawab jabatan itu menjaganya termasuk daripada gangguan sebarang aktiviti dan tindakan mana-mana kumpulan atau individu yang boleh menjejaskan keharmonian serta sensitif kepada majoriti rakyat beragama Islam.

“Jangan berlagak dan sebagai menteri, dia patut hormat agensi kerajaan yang semuanya di bawah tanggungjawab Perdana Menteri dan Kabinet.

“Harap lain kali fikir dulu sebelum buka mulut dan buat kenyataan. Jangan kerana mahu cari untung politik, tidak ada adab untuk menghormati Islam agama persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tiong Lai yang semalam dilaporkan sebagai berkata, Jakim tidak seharusnya menentukan senarai larangan kepada Jabatan Imigresen.

Kata Menteri Pengangkutan itu, peranan Jakim adalah untuk memantau aktiviti berkaitan dengan umat Islam dan hal yang menyentuh agama, itu sahaja.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafar Ali pada Sabtu dilaporkan berkata, jabatannya telah menerima maklumat dari polis dan Jakim mengenai individu yang seharusnya diharamkan daripada menghadiri acara ‘White Party Bangkok’ yang dijadualkan pada 30 September ini.

‘White Party Bangkok’ adalah acara perhimpunan gay terbesar di Asia yang akan diadakan di Thailand pada 28 Disember dan berakhir di Kuala Lumpur pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette