Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao (dua kanan) bersama Pegawai Tugas-Tugas Khas PMSP, Shafik Abdullah semasa sidang media mengenai skandal BMF di PJ Industrial Park, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 SEPTEMBER 2017

PETALING JAYA – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) terhadap kes pembunuhan Pembantu Pengurus Besar Bank Bumiputra Finance Limited (BMF) Jalil Ibrahim yang berlaku 34 tahun lalu di Hong Kong dan skandal BMF.

Pegawai Tugas-tugas Khas Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Shafik Abdullah berkata, beliau telah melakukan siasatan dan terdapat banyak bukti penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dalam kes tersebut.

Shafik memberitahu, pada 3 Februari lalu beliau telah membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati mengenai kes pembunuhan dan penyelewangan dana dalam kes tersebut.

Laporan itu dibuat setelah dia membuat penyiasatan peribadi di Hong Kong dan Pulau Carribean.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Shafik Abdullah bercakap semasa sidang media mengenai skandal BMF di PJ Industrial Park, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 SEPTEMBER 2017

Namun Shafik mempersoalkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hanya menyoalnya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang menyentuh mengenai penyelewangan di Kedutaan Malaysia berhubung pembiayaan perbelanjaan di Hong Kong.

Shafik memberitahu, dia telah bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) di Hong Kong untuk melengkapkan penyiasatannya.

Antara penemuannya bersama Interpol adalah pengakuan pembunuhan yang dilakukan Mak Foon Than setebal 25 muka surat, tambah beliau.

Pengakuan itu didapati hilang semasa perbicaraan kes tersebut di mahkamah dan Foon Than telah mengubah pengakuannya selepas itu.

Sementara itu, Presiden PMSP, Ramesh Rao berkata, pihaknya akan menghantar satu dokumen kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di Bukit Aman Khamis ini.

“Kami juga akan buat surat kepada beliau untuk menghubungi Interpol dengan segera.

“Ini kerana menurut sumber kami, Interpol akan beritahu semuanya jika PDRM minta. Sekarang PDRM tidak hubungi Interpol jadi Interpol tak akan bertindak selagi tidak hubungi secara rasmi,” jelasnya.

Dokumen itu antara lain mengandungi bukti individu yang berjumpa dengan dengan Jalil dari Malaysia ketika berada di hotel, siapa individu yang mengarah perjumpaan itu dan siapa yang mengarah pembunuhan itu.

Dalam sidang media itu, Shafik turut mendakwa dokumen yang akan dihantar itu turut mengandungi bukti pada tahun 1990 yang mana Mahathir telah menghantar Tun Daim Zainuddin ke Pulau Carribean untuk menukar harta Hong Kong Carrian Investment Limited (Carrian Group) milik bekas konglomerat Hong Kong, George Tan kepada nama Tun Daim.

Nama George Tan dikaitkan sebagai orang yang bertanggungjawab mengupah pembunuhan Jalil.

Pada Julai 1983, mayat Jalil Ibrahim dijumpai dalam sebuah ladang di sebuah daerah di Hong Kong.

Kematian Jalil dikaitkan dengan skandal BMF yang telah menyalurkan dana berbillion ringgit kepada Carrian Group.

Jalil dihantar ke Hong Kong ketika itu bagi membincangkan penyaluran dana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.