Home Dunia Pyongyang dakwa AS isytihar perang

Pyongyang dakwa AS isytihar perang

WASHINGTON – Pyongyang mendakwa Amerika Syarikat mengisytiharkan perang terhadap negara itu selepas Presiden Donald Trump menulis ‘kepimpinan Korea Utara tidak akan kekal lama’.

“Seluruh dunia jelas bahawa Amerika Syarikat yang pertama sekali isytihar perang ke atas negara kami.

“Oleh kerana Amerika Syarikat isytihar perang ke atas negara kami, Korea Utara akan mempunyai hak untuk mempertahankan diri dari segala aspek termasuk menembak jatuh pengebom strategik Amerika Syarikat pada bila-bila masa walaupun mereka belum berada di sempadan aero angkasa negara kami,” kata Menteri Luar Negeri Korea Utara, Ri Yong Ho.

Kenyataan rasmi itu diterjemahkan kepada wartawan sebelum Ri meninggalkan New York selepas berucap di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Sabtu lalu.

Tweet Trump itu dibuat selepas ucapan panas Ri pada persidangan itu yang menyifatkan Presiden Amerika Syarikat itu mempunyai ‘masalah mental dengan penuh megalomania’ (manusia yang obses dengan kuasa) terhadap ‘misi bunuh diri’.

Merujuk kepada posting Trump, Menteri Korea Utara itu berkata: “Soalan siapa yang tidak akan kekal lama’ perlu dijawab oleh Amerika Syarikat.

Kenyataan Ri itu dibuat dua hari selepas pesawat pejuang Amerika Syarikat terbang berhamporan perairan Korea Utara.

Sementara itu, Setiausaha akhbar White House, Sarah Sanders pula menafikan Amerika Syarikat mengisytiharkan perang ke atas Korea Utara, sambil menambah: “Terus terang, cadangan itu tidak masuk akal”.

Sanders berkata, ia adalah “tidak sesuai” untuk menembak pesawat negara lain di perairan antarabangsa dan rancangan Amerika Syarikat adalah untuk terus melindungi kawasan itu.

Terdahulu, jurucakap Jabatan Negara Katina Adams memberitahu CNN bahawa Amerika Syarikat mahu keamanan di Semenanjung Korea.

Tetapi, tentera Amerika Syarikat akan mengambil semua pilihan untuk memastikan bahawa negara itu melindungi sekutu-sekutu dan tanah airnya jika Korea Utara tidak menghentikan tindakan provokatif.

Jurucakap Pentagon, Kolonel Rob Manning berkata, pihaknya akan memastikan Trump diberi pilihan untuk berurusan dengan Korea Utara.

Mengulas kenyataan Ri, Manning berkata: “Tugas Jabatan Pertahanan seperti yang anda tahu adalah memastikan presiden disediakan dengan pilihan ketenteraan, kami akan terus melakukannya dan kami mempunyai senjata pilihan dalam tentera untuk diberikan kepada presiden supaya beliau boleh memutuskan bagaimana beliau mahu berurusan dengan Korea Utara dan rejimnya”.

“Kami bersedia dan bersedia untuk bertarung pada malam ini,” katanya.

Tentera Laut Amerika Syarikat juga akan terus mengekalkan kehadirannya di Semenanjung Korea meskipun terdapat retorik keras dan ancaman perang tentera dari Pyongyang. – MalaysiaGazette