KAJANG – Jabatan Penjara Malaysia hari ini menjadi jabatan kelima dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menandatangani lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Menurut Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat, hanya dua lagi jabatan dibawah KDN yang masih belum berbuat demikian dan dijangka dilakukan sebelum hujung tahun ini.
“Tinggal dua sahaja lagi jabatan dibawah KDN iaitu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Kita tengah atur secepat mungkin dalam tahun ini. Di peringkat kementerian kita akan laksanakan dalam masa terdekat tahun ini,” katanya selepas menyaksikan majlis lafaz dan sesi tandatangan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Dewan Kelab Penjara Kajang petang tadi.
Hadir sama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, Pengarah Suruhanjaya Pencerahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah dan Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar
Langkah itu seiring dengan cabaran Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Julai lalu agar semua jabatan dan agensi di bawah KDN membantu membuang persepsi buruk pelbagai pihak terutama dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan.
Pada April lalu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menjadi jabatan pertama di bawah KDN yang melafazkan IBR.
Ia diikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Julai lalu, malah Jabatan Imigresen turut digesa melaksanakan ikrar sama bagi mengelak prasangka masyarakat. -MalaysiaGazette.